Mohammad Hakimin insan istimewa yang dipilih Allah

- Advertisement -

DALAM misi Banjir Kuala Krai 2021 semalam, saya sempat berkunjung ke rumah Allahyarham Mohammad Hakimin Rahim 20 tahun yang meninggal ketika sedang menyelamatkan mangsa banjir. Suasana sedih dan pilu menyelebungi keluarga Hakimin. Saya sempat bertemu dengan kakak beliau di rumah bapa saudara mereka di Kampung Manjor Baru kerana ibu dan ayahnya tiada di rumah ketika kehadiran saya. Rumah mereka sendiri di Kampung Manjor turut ditenggelami air.

Menurut kakaknya, Hakimi bermula seawal pagi membantu memindahkan mangsa banjir dengan botnya. Beliau hanya mengayuh botnya menggunakan pengayuh. Allahyarham Hakimin berkata hari ini adalah hari terakhir beliau menolong orang. Beliau akan menolong semua orang kampung berpindah kerana air semakin naik dan cita-cita beliau ialah ingin berkhidmat kepada kedua ibu-bapanya sehingga akhir hayat telah tercapai.

- Advertisement -

Malamnya, semasa sedang membantu memindahkan kawannya, beliau jatuh ke dalam sungai dan tenggelam. Mayat Hakimin dijumpai pagi kelmarin berdekatan kawasan beliau jatuh. Saya doakan semoga beliau diberi kurniaan pahala sebesar syahid dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kita kehilangan seorang insan dan anak muda yang sangat bernilai. 

Turut hadir bersama saya ialah Tuan Kamarul Zaman Harun Timbalan OCPD Kuala Krai, kami menaiki bot ke rumah keluarga arwah. Saya juga mengucapkan takziah dan menghulurkan sedikit sumbangan buat keluarga beliau.

YB ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -