Anak perantau elak pulang ke kampung

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anak-anak perantau Kelantan dinasihat mengelakkan pulang ke kampung dalam situasi penularan pandemik Covid-19 sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri
Dr Izani Husin berkata, perantau hendaklah terus kekal di kediaman masing-masing.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya bagi perantau yang baru tiba dari luar Kelantan dengan keizinan pihak berkuasa hendaklah menjalankan kuarantin kendiri selama dua minggu.

“Usah ulangi kesilapan yang lepas di mana terdapat kes yang berlaku di Kelantan baru-baru ini adalah kes import.

“Sekiranya seseorang mempunyai simptom terus ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani saringan,” katanya di sini.

Menurutnya juga rakyat Kelantan hendaklah mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat yang berisiko, sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Kata beliau setiap orang hendaklah mengenakan pemakaian pelitup, kerap mencuci tangan, menjaga penjarakan fizikal dan mengehadkan pergerakan ke luar dari rumah.

“Pada saat berdepan situasi genting sekarang peranan ketua keluarga amatlah penting dalam membuat perancangan mengurus keluarga ketika berdepan wabak Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -