COVID-19: Dr Zulkifli sembuh dengan Habbatussauda?

SEGELINTIR pihak tertentu selalu mengeluarkan hujah bahawa pemakanan sunnah seperti Habbatussauda adalah rawatan yang untuk merawat COVID-19. Soal mereka, kenapa KKM tidak mengambil Habbatussauda untuk diberikan kepada pesakit-pesakit yang positif COVID-19. Mereka mengambil contoh seperti yang telah berlaku terhadap Datuk Seri Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri semasa tempoh rawatan beliau di wad COVID-19. Kononnya bahawa Datuk Seri Dr Zulkifli Muhammad Al-Bakri sembuh daripada COVID-19 dengan hanya menggunakan Habbatussauda (Black Cumin atau Nigella Sativa).

Untuk makluman, Datuk Seri Dr. Zulkifli telah disahkan positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020 dan dimasukkan ke wad untuk isolasi dan kuarantin. Alhamdulillah, pada 14 Oktober beliau telah pun bebas daripada COVID-19 dan dibenarkan keluar wad. Beliau telah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak mendoakan beliau supaya segera sembuh daripada COVID-19. Manakala berita beliau telah keluar itu telah disambut oleh banyak media. Antara banyak-banyak komen yang telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak itu diselitkan juga bawa Datuk Seri Dr. Zulkifli telah sembuh menggunakan Habbatussauda.

Advertisement

Sebenarnya tidak pernah dikeluarkan kenyataan rasmi tersebut oleh beliau dalam mana-mana kenyataan sama ada di media sosial ataupun melalui kenyataan TV tetapi ianya adalah andaian pihak tertentu. Kenyataan itu telah pun disangkal oleh beliau pada peringkat awal dahulu dan sekali lagi kenyataan rasmi penafian telah dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit beliau (Ustaz Muhammad Razif). 

Kita kesal dengan tindakan beberapa pihak yang telah menggunakan nama Datuk Seri Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri semata-mata ingin melariskan jualan dan semata-mata ingin menegakkan hujah mereka bahawa Habbatussauda itu boleh menyembuhkan COVID-19.

Buat masa ini sepanjang dari pembacaan saya melalui jurnal-jurnal kajian saintifik yang telah dikeluarkan bahawa belum ada lagi keputusan yang konklusif bahawa Habbatussauda itu boleh merawat ataupun boleh mencegah daripada COVID-19. 

Beberapa pakar dari Arab Saudi (El Sayed SM, 2020) telah melaksanakan satu protokol untuk memberikan beberapa pemakanan Sunnah termasuk Habbatussauda untuk diberikan kepada pesakit COVID di negara mereka. Kajian retrospektif tersebut baru sahaja selesai dan didapati: kemungkinan makanan Sunnah termasuk Habbatussauda boleh membantu secara awalan (prophylaxis) untuk mengurangkan jangkitan COVID-19. Tetapi jumlah kajian yang terlalu sedikit (20 kes sahaja) tidak menjanjikan apa-apa jaminan yang definitif. Pengkaji berkenaan menyarankan kajian klinikal yang lebih lanjut untuk menentukan secara lebih jitu. Kita tunggu mana-mana kajian lanjut dalam isu ini.

Habbatussauda adalah sejenis bahan yang memang terdapat khasiat-khasiat yang tertentu antaranya adalah antioksida. Antioksida perlu untuk membentuk pertahanan badan secara umum tetapi ianya tidak khusus kepada penyakit-penyakit berjangkit khusus seperti Tuberkulosis, Difteria, COVID-19 dan lain-lain. Justeru, ia mungkin boleh digunakan untuk kesegaran badan, tetapi bukan digunakan sebagai rawatan utama.

Bagaimana pula dengan Hadis yang mengatakan berkaitan dengan Habbatussauda itu adalah ubat segala penyakit kecuali mati?

Orang awam perlu diberi pencerahan lanjut oleh para alim ulamak. Sepanjang tempoh kehidupan Rasulullah S.A.W sendiri pun tidak semua keadaan Rasulullah S.A.W sarankan ambil Habbatussauda. Hadis tersebut jangan difahami secara literal tetapi ia memerlukan tafsiran yang lebih teliti oleh ulamak. 

Urusan merawat pesakit adalah urusan dunia yang sudah pasti perlu dirujuk kepada ahlinya iaitu doktor perubatan. Pakar-pakar akan berpegang kepada disiplin ilmu dan bukannya merawat secara semberono.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Rujukan:
El Sayed SM, Aboonq MS, El Rashedy AG, et al. Promising preventive and therapeutic effects of TaibUVID nutritional supplements for COVID-19 pandemic: towards better public prophylaxis and treatment (A retrospective study). Am J Blood Res. 2020;10(5):266-282. Published 2020 Oct 15. – HARAKAHDAILY 30/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.