Kemaman, Dungun di hati ambe, Temerloh di hati kome

- Advertisement -

SEMALAM saya berpeluang bersama YB Ir. Saiful Azmi bin Suhaili (ADUN Kemasik, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Kerajaan Terengganu), Ustaz Nasir Abdul Razak (Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu), Ustaz Ramlan Mahmood, Ketua Pemuda PAS Kemaman dan rakan-rakan dari Jabatan AMAL Malaysia Terengganu menyampaikan bantuan kepada keluarga yang terjejas dengan banjir di Daerah Kemaman.

Sebilangan besar dari mereka terlibat secara langsung bersama saya pada misi bantuan PAS melalui Jabatan Amal Malaysia pada peristiwa Bah Besar pada akhir tahun 2013. Ketika itu Daerah Kemaman dilanda banjir teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya sehingga melumpuhkan hampir sebahagian besar bandarnya yang terletak di Chukai. Kemaman pada ketika itu adalah merupakan kawasan yang paling teruk terjejas berbanding Hulu Terengganu dan Dungun. Kehebatan penggunaan radio amatur oleh PAS membolehkan operasi menyelamat dapat dilakukan dengan pantas kepada mangsa-mangsa yang terputus hubungan. 

- Advertisement -

Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan di atas kecekapan Kerajaan Negeri Terengganu kerana berjaya mengurus masalah banjir di Negeri Terengganu dengan cekap dan pantas.

Kemaman dan Dungun adalah merupakan tempat yang istimewa dan dekat di hati saya. Saya sendiri pernah tinggal di sini memulakan kehidupan awal kerjaya dan berkeluarga hampir 10 tahun lamanya. Sebahagian anak-anak saya adalah pelajar di PASTI Ar-Rahman Kemasik dan kemudian menyambung Pendidikan Sekolah Rendah di Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) Paka. Mereka kini semua telah besar memasuki alam persekolahan peringkat menengah dan sedang gigih menghafal al-Quran. Semuanya dengan bantuan dari para guru (Asatizah) yang banyak membantu anak-anak saya ketika pendidikan awal mereka.

Kini saya dan keluarga telah menetap di Lanchang, Temerloh. Temerloh telah menjadi tempat saya meneruskan kehidupan bermasyarakat dan alhamdulillah saya juga berpeluang untuk membina dan mengurus sebuah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di sini.

Meskipun berkerja di Kuala Lumpur, Temerloh dipilih kerana kedudukannya yang strategik iaitu ‘titik tengah’ Semenanjung Malaysia. Ia memudahkan saya untuk bergerak berkhidmat kepada parti dan kerjaya sama ada tugasan tersebut di Utara, Selatan, Timur atau Barat Semenanjung.

Dan yang paling bestAlhamdulillah, penduduk di Lanchang ini baik-baik dan ramah belaka menyebabkan ‘Temerloh di hati kome’.

IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 28/12/2020

- Advertisement -