Belanjawan: Pemuda PN sebagai pemudah cara rakyat

- Advertisement -

SYUKUR ke hadrat Allah S.W.T, Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada minggu lalu. Pemuda Perikatan Nasional ingin menzahirkan ucapan syabas dan setinggi penghargaan kepada semua Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi suara nurani rakyat dan tuntas menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa sehinggalah bacaan kali ketiga.

Belanjawan 2021 adalah refleksi sikap keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kemampanan ekonomi.

- Advertisement -

Pandemik COVID-19 menuntut Kerajaan Perikatan Nasional memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif sosial untuk golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan yang kurang bernasib baik yang pastinya terjejas akibat krisis ini. Kerajaan Perikatan Nasional juga telah merencanakan pelbagai kebijakan untuk menyediakan peluang pekerjaan dan memperkasa sumber daya manusia demi untuk mengurangkan kadar pengangguran dan merancakkan produktiviti negara. 

Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang direncanakan untuk menyediakan 500,000 peluang pekerjaan baharu selain pelbagai program peningkatan kemahiran dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion pastinya menggembirakan warga dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda. 

Justeru, menuju tahun baru 2021 ini, Pemuda Perikatan Nasional menyeru Kerajaan dan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi fokus sepenuhnya kepada pelaksanaan Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Pemuda Perikatan Nasional juga bertekad menjadi pemudah cara rakyat dalam memastikan pelaksanaan unjuran kerajaan dan inisiatif prihatin rakyat yang efektif dan holistik. Kami juga komited menjadi dhamir rakyat untuk memastikan ‘no one left behind’ sekali gus merealiasikan Wawasan Kemakmuran Bersama. Ayuh! Teguh kita, menang bersama. 

IR. TS. KHAIRUL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 21/12/2020

- Advertisement -