
ESSCOM merupakan satu entiti keselamatan yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengawal dan mempertahankan kedaulatan kawasan Pantai Timur Sabah daripada diceroboh oleh anasir-anasir luar yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian di kawasan berkenaan termasuklah isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ESSCOM dalam menangani isu PATI adalah:
(i) Kedudukan geografi Pantai Timur Sabah yang berhampiran dengan kepulauan di Selatan Filipina dan Indonesia. Faktor ini telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman dari segi jenayah rentas sempadan termasuk melibatkan pencerobohan PATI, Kidnaping For Ransom dan lain-lain jenayah rentas sempadan;
(ii) Keluasan persisir Pantai Timur Sabah bermula dari daerah Kudat hingga ke Tawau iaitu sepanjang 2,344.6 km merupakan satu kawasan yang panjang;
(iii) Kewujudan pulau-pulau di kawasan perairan Pantai Timur Sabah yang terlalu banyak iaitu sekitar 307 buah pulau turut membolehkan PATI daripada Selatan Filipina dengan mudahnya dapat bersembunyi di pulau-pulau terlebih dahulu untuk mengelak dikesan sebelum memasuki perairan negara ini secara tidak sah;
(iv) Oleh kerana terdapat pertalian antara penduduk Sabah dan Filipina, pergerakan keluar masuk telah berlaku sejak sekian lama, menjadi kebiasaan atau amalan masyarakat setempat begitu juga di antara Sabah dan Indonesia; dan
(v) Kewujudan tali barut dalam kalangan rakyat tempatan yang sentiasa memberikan maklumat mengenai kewujudan dan keberadaan aset-aset laut pasukan keselamatan kepada tekong-tekong laut yang membawa PATI menyebabkan pergerakan masuk mereka ke kawasan perairan Sabah sukar dikawal dan dikesan.
Walaupun terdapat cabaran sebagaimana yang dinyatakan, kerajaan akan terus komited untuk mengoptimumkan jaringan keselamatan di ESSZone dengan mempertingkatkan kemampuan pasukan keselamatan khususnya dari segi keupayaan keanggotaan dan perolehan peralatan serta kelengkapan yang canggih dan terkini.
Penambahbaikan dan pembinaan kem-kem baru akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama, teknologi pengawasan elektronik juga akan terus dipertingkatkan sejajar dengan kemampuan kewangan negara.
YB DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDDIN
Menteri Dalam Negeri
4 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 4/12/2020











