Isu daging haram import tidak perlu dipolitikkan

- Advertisement -

LAWATAN mengejut premis hari ini adalah daripada susulan isu keyakinan status halal daging dan produk daging import. Dua syarikat terlibat dalam lawatan kali ini adalah Syarikat Al Hilal Food Processing Sdn. Bhd dan Ramly Food Processing Sdn. Bhd. Kedua-duanya adalah pengimport daging dan produk daging sejuk beku dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia. 

Dua syarikat di atas adalah antara syarikat yang melengkapi proses rantaian pensijilan halal sebagai pengimport produk daging halal dan pengeluar produk daging sejuk beku halal. Kedua syarikat ini telah mematuhi sepenuhnya prosedur pensijilan halal dan undang-undang yang dikuatkuasa. 

- Advertisement -

Sebagai pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia, JAKIM bertanggungjawab untuk mempersijilkan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara sahaja. Manakala produk daging yang diimport masuk ke Malaysia perlu mendapat pengesahan halal daripada Badan Islam di negara pengeluar.

Bagi tujuan mendapatkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membawa produk tersebut masuk ke Malaysia, JAKIM bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan verifikasi untuk mengesahkan bahawa loji sembelihan di negara pengeluar telah dipersijilkan halal oleh Badan Islam dan mematuhi standard-standard yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dari aspek hukum syarak. 

Ingin saya tegaskan bahawa, dalam urusan kawal selia kemasukan produk di pintu masuk negara, JAKIM tidak terlibat kerana di sana telah ada agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan. Dapatkan berita daripada sumber yang sahih. Saya pasti, kita semua amat bersetuju bahawa isu ini tidak wajar dipolitikkan. Ini urusan ibadah umat Islam. Oleh itu, saya akan berusaha untuk memastikan pihak berautoriti menjalankan siasatan yang telus dan amanah.

Pengguna dinasihatkan agar terus memilih produk-produk yang telah mendapat pensijilan halal Malaysia kerana pensijilan halal Malaysia telah melalui proses yang ketat berdasarkan standard ISO IEC 17065 sebagai Badan Pensijilan Halal. 

Saya akan memastikan segala cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak JAKIM, akan diteliti sebaiknya demi keselesaan umat Islam. Saya juga yakin dengan doa semua, kemelut 40 tahun ini akan selesai dengan izin-Nya,insya-Allah.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 28/12/2020

- Advertisement -