Tidak roboh bangunan dibina ikut peraturan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah hanya boleh memberi jaminan struktur bangunan sama ada rumah ibadat, kediaman atau premis yang dibina atas tanah persendirian tidak diroboh apabila mengikut undang-undang.

Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan perkara itu berdasarkan jaminan di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Menurut Perlembagaan seseorang rakyat Malaysia mempunyai hak atas harta benda miliknya sendiri, itu boleh dijamin, jaminan hanya boleh dijamin oleh undang-undang, tidak boleh di luar batas undang-undang,” katanya di sini semalam.

Sanusi diminta mengulas tuntutan NGO Hindu yang menggesa agar beliau memberi jaminan tiada lagi kuil Hindu akan dirobohkan di Kedah sebaliknya dipindahkan jika perlu.

Pada awal Disember lalu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah kerana dibina di tempat awam tanpa kebenaran.

Malah MBAS mengeluarkan dua notis sejak setahun lalu kepada penjaga kuil terbabit supaya merobohkan kuil berkenaan.

MBAS dalam suatu kenyataan sebelum ini memberitahu notis pertama dikeluarkan pada 2 Disember 2019 melalui serahan tangan kepada penjaga kuil berkenaan.

Pemilik kuil terbabit dikehendaki merobohkan binaan tersebut dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh notis.

Kemudian MBAS menghantar notis kedua pada 29 Julai 2020 atas kesalahan yang sama dan mengarahkan penjaga kuil meroboh binaan terbabit dalam tempoh tiga hari. Namun binaan itu tetap tidak diroboh.

Malah notis serupa diterima Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah dan pemilik-pemilik garaj kereta di lokasi sama.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak boleh memberi jaminan untuk tidak meroboh bangunan termasuk rumah ibadat dibina atas tanah bukan milik persendirian yang menyalahi undang-undang. – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -