Perancis tidak perlu ‘pesimis’ kepada Islam

- Advertisement -

PERKEMBANGAN Islam di Perancis

Hubungan Dunia Islam dan Dunia Barat bermula sejak awal tamadun Islam lagi khususnya di zaman Khulafa Al-Rasyidin dan kerajaan-kerajaan Islam selepas itu.

Beberapa penemuan bahan sejarah membuktikannya seperti duit syiling yang tertera kalimah Allah dan Muhammad di Britain, trend pemakaian Islam, bangunan dan seni bina dan lain-lain lagi.

- Advertisement -

Ketika zaman kegemilangan tamadun Islam, Dunia Barat hidup di zaman gelap yang terkenal dengan tema “The Dark Ages” oleh ahli-ahli sejarah Barat.

Tamadun Islam di Sepanyol yang berpusat di Granada memainkan peranan penting dalam menyebarkan pengaruh tamadun Islam di Dunia Barat sehingga ‘menggetuk’ pintu Selatan Perancis.

Bahkan ramai cendikiawan-cendikiawan Barat yang belajar dan menuntut ilmu di pusat-pusat pengajian Islam di Sepanyol dan membawa pengaruh ini ke negara-negara mereka dalam pelbagai lapangan ilmu sehingga membawa kepada kebangkitan Dunia Barat selepas itu hasil daripada pengaruh tamadun Islam.

Malahan ia diakui sendiri oleh pengkaji-pengkaji Barat yang adil dalam kajian mereka. Prince Charles, Putera Mahkota England sekitar awal tahun 2000 pernah menyebut dalam satu program bersama komuniti Islam di Leicester bahawa Dunia Barat sepatutnya bersyukur kepada tamadun Islam kerana tanpanya, Dunia Barat tidak akan maju seperti hari ini.

Itu di zaman kegemilangan Islam, namun keadaannya berubah apabila bermulanya zaman kemunduran Dunia Islam dan kebangkitan Barat khususnya ketika revolusi Perancis pada tahun 1789 yang menjadi pencetus kepada fahaman Sekularisma sehingga menjadi teras kepada Dunia Barat sehingga ke saat ini.

Di atas slogan Persamaan, Kebebasan dan Persaudaraan, maka ia umpama ribut taufan yang merebak ke seluruh Dunia Barat yang membebaskannya dari sistem beraja dan feudal kepada sistem demokrasi yang ditentukan oleh rakyat jelata.

Sekularisma yang berteraskan kepada pemisahan agama dan cara hidup akhirnya menjadi asas kepada Dunia Barat membina tamadunnya yang hanya mementingkan aspek lahiriyyah (kebendaan) semata-mata tanpa mengira aspek moral, akhlak dan rohani.

Kebangkitan Dunia Barat membawa kepada era penjajahan ke atas Dunia Islam sehingga mengakibatkan penghijrahan beramai-ramai penduduk Dunia Islam yang dijajah oleh Barat ke negara-negara penjajah.

Di Britain, kebanyakan umat Islam terdiri daripada keturunan Islam India, Bangladesh dan Pakistan. Di Belanda pula terdapat sebilangan besar penduduk Islamnya berasal daripada Indonesia.

Adapun di Perancis kebanyakan umat Islam terdiri daripada keturunan Islam di bahagian Afrika Utara yang dahulunya berada di bawah jajahan Perancis.

Mengikut statistik yang dikeluarkan pada 2016, jumlah umat Islam di Eropah adalah seramai 25,7 juta orang yang terdiri daripada 5.72 juta orang di Perancis, 4.95 juta orang di Jerman, 4.1 juta orang dI United Kingdom, 2.87 juta orang di Itali, 1.21 juta orang di Belanda, 1.18 juta orang di Sepanyol dan selebihnya di negara-negara lain di Eropah.

Kebangkitan semula Islam

Di Barat umumnya dan di Perancis khususnya, Islam tidak dianggap sebagai satu ancaman kerana ianya berjaya dilemahkan dengan pelbagai cara khususnya serangan pemikiran dengan memasukkan fahaman Sekularisma ke dalam diri umat Islam.

Namun keadaan ini berubah sejak beberapa dekad yang lalu apabila masyarakat Barat mula melihat Islam sebagai satu penyelesaian kepada masalah kehidupan mereka yang sudah tersasar dari nilai-nilai manusiawi yang sebenar.

Bersesuaian pula dengan salah satu teras sekularisma iaitu kebebasan, justeru pengaruh Islam sedikit demi sedikit tersebar dan membawa kepada kesedaran baru kepada umat Islam di Perancis dan masyarakat Barat umumnya.

Sebaliknya setelah berlakunya peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat yang membawa kepada perang menentang keganasan di mana ia sebenarnya adalah perang menentang pengaruh Islam, Islam mula dilihat sebagai ancaman besar kepada sekularisma dan barat.

Lanjutan daripada propaganda peperangan menentang keganasan atau “war on terrorism” , timbul satu fenomena baru di Dunia Barat yang dinamakan dengan Islamofobia hasil daripada manifestasi yang berlaku.

Islamofobia ialah perasaan takut dan benci terhadap Islam sehingga melahirkan permusuhan terhadap orang-orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Mana-mana orang Islam yang bepegang kepadanya seperti berhijab dan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar akan dijadikan sasaran malahan ditangkap walaupun tidak melakukan kesalahan dan mengikuti segala undang-undang sebagai warganegara atau menjadi pemastautin di negara yang didiami.

Islamofobia kini sudah menjadi ideologi sehingga menyebabkan penyisihan berlaku terhadap Islam dan penganutnya sehingga kepada tahap mendiskriminasi individu, masyarakat, pertubuhan, parti politik dan negara yang menjadikan Islam sebagai agenda mahupun pegangannya.

Ia sebenarnya adalah satu fenomena yang lahir dari persepsi yang dimainkan oleh media massa barat yang memberikan gambaran yang tidak adil terhadap Islam bahkan sampai ke tahap menanamkan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain khususnya Barat.

Ia menjadi bertambah buruk lagi apabila sikap ini disokong oleh ahli-ahli politik barat samada kiri atau kanan, tokoh-tokoh agama, akademik mahupun artis-artis dengan memainkan sentimen Islamofobia mahupun membuat perbandingan tidak adil terhadap Islam dan umatnya.

Islamofibia diberikan gambaran mahupun perbandingan yang salah dan tidak adil seperti Islam adalah agama keganasan, umat Islam adalah pengganas, mengamalkan Islam yang sebenar akan mengembalikan kemunduran dan pelbagai lagi gambaran mahupun propaganda buruk diberikan agar umat manusia menjauhi Islam.

Namun akibat daripada Islamofobia, umat Islam mula bangkit menentang dalam pelbagai sudut malahan negara-negara Dunia Islam sudah mula berani bersuara di peringkat antarabangsa menentang dan mengecam Islamofobia yang dianggap sebagai rasis.

Akibat daripada itu, barat mula melihat ia sebagai ancaman dan mula menekan Islam dan umatnya di seluruh dunia dalam pelbagai bentuk. Saat ini Perancis dilihat pencetus terbesar Islamofobia akibat daripada kegagalan dan kelemahan Amerika Syarikat ketika ini.

Undang-Undang mengekang pengaruh Islam

Perkembangan terakhir yang sedang berlaku di Perancis pada hari ini, ekoran satu enekmen undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Perancis beberapa hari lalu mendapat bantahan hebat dari seluruh rakyat Perancis. Enekmen undang-undang tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk mengawal perkembangan Islam ekoran beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini.

Akibat daripada insiden yang berlaku serta cetusan propaganda yang berterusan, undang-undang ini dibawa dan diluluskan Parlimen Perancis dengan tujuan untuk memelihara sekularisma kerana Perancis menjadi simbol sekularisma kepada Dunia Barat ekoran sejarah perkembangannya bermula di situ.

Ketika ini masjid-masjid di seluruh Perancis dipantau aktivitinya malahan ada yang telah ditutup, terdapat sekolah-sekolah beraliran Islam telah mula ditutup, pertubuhan-pertubuhan kebajikan Islam telah mula dipantau aktivinya dan terdapat juga yang telah ditutup, begitu juga pertubuhan politik Islam nasibnya sama seperti yang lain samada dipantau mahupun ditutup.

Dalam laporan France 24, media yang dikuasai Kerajaan Perancis, pada 9 Disember lalu menyatakan dalam draf undang-undang sekularisma yang diluluskan baru-baru ini antaranya mengenakan syarat ketat kepada kanak-kanak yang berumur antara 3-6 tahun untuk belajar di rumah (home schooling), melarang pihak berkuasa untuk memberikan kerakyatan mahupun status penduduk tetap kepada pengamal poligami, larangan kahwin paksa seperti ketetapan keluarga yang membolehkan pihak berkuasa membatalkan mahupun campur tangan, larangan pertubuhan Islam dan masjid menerima bantuan dari luar terutamanya melebihi 10 ribu Euro dan beberapa lagi syarat-syarat yang sememangnya menekan penganut Islam di Perancis.

Mengapa timbul ketakutan Perancis terhadap Politik Islam?

Melihat kembali kepada asalnya mengapa undang-undang sebegini dikuatkuasakan di Perancis, contoh terbaiknya untuk dinilai adalah pengharaman hijab atau “head scarf ban” oleh Kerajaan Perancis pada tahun 2004.

Ia bermula pada 18 September 1989 apabila tiga pelajar perempuan beragama Islam digantung persekolahan kerana enggan membuka hijab mereka didalam kelas.

Bermula dari situ sehingga ke tahun 2003, lebih dari 100 pelajar perempuan digantung persekolahan atau dibuang kerana memakai hijab di sekolah.

Bermula dari situ, kes ini yang dianggap kes terawal yang mencetuskan tindakan mencipta dan meluluskan enakmen undang-undang sekularisma baru-baru menjadi perdebatan hangat di Perancis ketika itu.

Namun alasan yang paling utama Kerajaan Perancis ketika itu adalah untuk memelihara asas dan prinsip sekularisma yang menjadi teras kepada republik atau Perancis serta mendokongi sekularisma sebagaimana enekmen undang-undang pemisahan Gereja dan Negara yang diluluskan pada 9 Disember 1905 yang menjadi asas kepada Republik Sekular Perancis.

Melihat kepada asas pengharaman hijab atau “head scarf” ketika itu, ia langsung tidak mengancam keselamatan mana-mana individu atau Perancis itu sendiri. Malah pelajar-pelajar tersebut hanya memakainya kerana ia adalah tuntutan agama.

Sebagaimana masjid-masjid dan pertubuhan kebajikan yang dipantau mahupun ditutup oleh Kerajaan Perancis ketika ini, ia diasaskan samada untuk beribadat mahupun mengutip sumbangan untuk tujuan amal dan menjaga kebajikan orang-orang Islam di Perancis.

Daripada penilaian banyak pihak, orang Islam di Perancis hanya mengamalkan cara hidup yang dituntut oleh agama Islam, tidak lebih dari itu kerana Islam mengajar umatnya untuk hidup aman damai bersama penganut agama lain dan dari kalangan berbilang kaum dan bangsa.

Namun akibat daripada beberapa insiden yang tercetus baru-baru ini, umat Islam di Perancis khususnya dan dunia amnya telah dinilai sebegitu buruk dan dianggap radikal dan ekstrimis. Benar, mungkin tindakan itu salah namun bagaimana pula dengan sebab ianya berlaku ?

Sebagaimana yang selalu disebut, mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Daripada menekan mahupun mengancam umat Islam, Kerajaan Perancis disaran agar melihat kembali penyebab mahupun menilai kembali tindakan mereka, adakah adil untuk menghalang umat Islam dari mengamalkan cara hidup mahupun ajaran Islam yang sebenar?

Pastinya siapa pun tidak mahu agama mahupun cara hidup mereka dicerca dan dihina kerana pastinya akan ada tindakbalas samada baik atau buruk. Mungkin Malaysia adalah contoh terbaik untuk Perancis di mana semua agama, kaum dan bangsa walau berlainan warna kulit mampu hidup harmoni dan aman damai.

Walau majoriti penduduk Malaysia adalah beragama Islam dan agama rasminya adalah Islam, di Malaysia warganegara yang berlainan agama tidak dihalang untuk mengamalkan agamanya mahupun dihalang mengamalkan tuntutan kehidupan agamanya. Mungkin Malaysia contoh terbaik untuk Perancis menilai betapa terbuka dan bebas kehidupan rakyatnya.

Islam adalah agama yang aman dan damai, tidak memaksa dan menekan mana – mana pihak. Begitu juga umat Islam, semuanya berpegang kepada ajaran Islam yang cintakan kedamaian dan keamanan. Harapan, usah takutkan Islam dan umatnya kerana menggangap ia ancaman kepada asas, dasar dan prinsip kenegaraan.

Saya yakin, umat Islam di Perancis cukup matang untuk meletakkan diri mereka dalam kerangka yang telah ditetapkan. Berilah mereka peluang untuk menjadi umat Islam yang taat kepada ajaran agamanya dan dalam masa sama menjadi seorang warganegara yang berguna dan mematuhi undang – undang.

Insyaallah, jika diberi peluang mereka tidak akan menghampakan malah mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan Perancis malah mampu mengangkat Perancis ke tahap yang lebih baik dari sebelumnya.

Semoga Allah SWT melindungi dan merahmati umat Islam di Perancis dan seluruh dunia amnya.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 19/12/2020

- Advertisement -