Pemilihan Saarani kukuhkan kerajaan negeri – Ustaz Idris

KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu iaitu Dato’ Saarani Mohamad diharapkan mampu memberi kestabilan dan kesejahteraan kepada negeri itu.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, pemilihan Saarani sebagai Menteri Besar Perak baharu melalui hasil persetujuan dan perbincangan ketiga-tiga presiden parti blok kerajaan dapat mengukuhkan lagi kerajaan negeri itu sekali gus menutup kemelut politik yang berlaku.

Advertisement

“PAS bersama Umno dan BERSATU akan terus bekerjasama dalam membantu kerajaan negeri demi untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

“Apa yang saya harapkan adalah supaya kepimpinan kerajaan Perak yang baharu ini dapat mengambil berat terhadap rakyat terutama rakyat yang susah,” katanya kepada Harakah hari ini.

Beliau turut berharap kerajaan baharu ini dapat menyelesaikan masalah pemilikan tanah kepada rakyat yang masih tidak mempunyai tapak untuk membina rumah sendiri.

Idris berkata kebanyakan rakyat negeri itu tidak mempunyai tanah sendiri sehingga menyukarkan bantuan untuk membina rumah diberikan.

“Mengikut pengalaman saya ramai (rakyat) apabila kita mahu membantu untuk membina rumah melalui bantuan sama ada daripada Baitul Maal, NGO, Kementerian Luar Bandar, masalah yang dihadapi ramai yang tidak memiliki tanah sendiri. Akhirnya tidak dapat bantu,” katanya.

Justeru, beliau sangat berharap kerajaan baharu ini dapat memberi tumpuan untuk memastikan rakyat di negeri itu memiliki tapak rumah sendiri.

“Sekurangnya apabila tapak sudah ada mereka boleh berusaha untuk membinanya,” kata Idris lagi.

Terdahulu, satu perbincangan telah diadakan antara Presiden BERSATU, PAS dan Umno bagi menyelesaikan pembentukan Kerajaan Perak.

Dalam perbincangan itu, Pengerusi BN, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak Adun-adun BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

Adun Kota Tampan, Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pagi ini. – HARAKAHDAILY 10/12/2020