Moratorium, KWSP bukan isu sebenar

Dr. Mohd Zuhdi Marsuki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gesaan lanjutan moratorium automatik dan ‘one-off‘ Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan isu yang sepatutnya diketengahkan dalam Belanjawan 2021, kata Setiausaha Politik Menteri Air dan Alam Sekitar, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Menurut beliau, persepsi umum terhadap Belanjawan 2021 telah difokuskan menjadi sebuah bajet populis oleh sesetengah pihak sehinggakan isu kecil dijadikan berita yang lebih besar berbanding apa yang memanfaatkan rakyat.

Jelas Mohd Zuhdi, pelbagai insentif dan bantuan yang disalurkan kerajaan melalui Belanjawan 2021 terhadap kesemua kelas masyarakat, namun rakyat tidak tahu mengenainya.

“Apabila isu moratorium dan KWSP digembar-gemburkan, saya yakin ramai yang tidak tahu apa yang mereka dapat dalam bajet, apa yang mereka boleh tuntut dalam bentuk bantuan secara langsung atau secara tidak langsung.

“Mereka lupa apa yang ada dalam bajet disebabkan oleh dua perkara tersebut, lupa dengn Pakej Prihatian, i-Lestari, dan lanjutan moratorium sebelum ini.

“Sebagaimana yang disebut oleh Menteri Kewangan, apabila tamat tempoh moratorium, 85 peratus peminjam meneruskan bayaran, mereka tidak mengambil moratorium, manakala selebihnya memohon dan 98 peratus daripada permohonan diluluskan.

“Ini bukan isu, saya tidak tahu kenapa dijadikan isu sehingga mereka lupa apa yang mereka boleh dapat daripada bajet. Begitu juga KWSP,” kata Mohd Zuhdi ketika ditemubual dalam Bicara Harakah, Belanjawan 2021: Antara Ekonomi dan Rakyat, di sini, semalam.

- Advertisement -

Jelasnya, i-Lestari masih berterusan selama 12 bulan, untuk individu yang hilang punca pendapatan, hilang pekerjaan, pendapatan berkurang pula dibenarkan mengeluarkan Akaun 1 sekiranya dibuktikan terjejas.

Walaupun terdapat cadangan yang bersifat populis mengenai pengeluaran Akaun 1 KWSP, namun kata Mohd Zuhdi, lebih baik supaya kerajaan mengambil jalan tengah dan memberi kepada mereka yang memerlukan secara beransur dan bukan ‘one-off‘. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -