Negara lalui jalan sukar sekiranya belanjawan ditolak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Negara akan menghadapi laluan lebih sukar sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sewajarnya anggota Parlimen membuat pertimbangan yang baik untuk negara, rakyat dan bukan kepentingan politik.

Katanya, antara yang lebih terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan adalah dana berkaitan Covid-19.

- Advertisement -

“Amatlah rugi sekiranya peruntukkan khas untuk Covid-19 yang dibentangkan baru-baru ini tidak dapat disalurkan kerana sekatan sokongan anggota Parlimen itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bendahari Agung BN, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam yang menyokong Belanjawan 2021 sebagaimana keputusan yang dibuat sebelum ini.

Menurut Amar, pentingnya Belanjawan 2021 kerana ianya mempunyai peruntukkan khas berkaitan Covid-19 yang melanda negara sekarang.

“Kita mengharapkan semua anggota Parlimen sama ada dari pembangkang atau kerajaan menyokong bajet berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat hajat di bangunan pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang baru di Tunjong, di sini, hari ini.

Beliau turut memberi contoh sekiranya Perdana Menteri meletak jawatan atau Parlimen dibubarkan berikutan belanjawan tidak diluluskan.

“Cuba kita bayangkan jika takdir itu berlaku dan pilihan raya pula akan diadakan.

“Apa akan berlaku nanti? Sedangkan proses pilihan raya bukan boleh dilakukan selama dua hari, tetapi dalam tempoh 60 hari untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU,” ujarnya.

Amar berkata, ianya akan menjejaskan belanjawan itu sendiri yang sepatutnya telah dapat digunakan untuk rakyat.

Beliau berkata, jika kerajaan baru pula naik, belanjawan perlu disusun semula memandangkan yang sebelum ini telah ditolak.

Menurut Amar, untuk membuat sesuatu bajet bukan perkara yang mudah.

Beliau turut mengambil contoh yang sama pernah berlaku di Amerika apabila belanjawan negara itu pernah ditolak oleh dewan senat.

“Akibatnya, satu bulan pejabat kedutaan Amerika di negara ini ditutup kerana tidak ada peruntukkan setelah belanjawan negara itu disekat,” ujarnya.

Sambungnya, sekiranya BN sudah bersetuju, sewajarnya ia diikuti oleh anggota Parlimen yang lain.

Katanya, sekarang ini soal kepentingan negara, tidak bersetuju itu perkara biasa.

“Kami dahulupun ada yang tidak bersetuju dengan belanjawan sewaktu kerajaan BN, tetapi kami bagi pandangan, akhirnya bajet itu dilepaskanlah.

“Tidak bersetuju tu adalah perkara biasa tetapi kita boleh bagi pandangan dan bukannya membuat keputusan hingga merugikan negara dan rakyat di bawah,” ujarnya. –HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -