Belanjawan 2021 mampu pacu pemulihan ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemulihan ekonomi negara bergantung kepada beberapa aspek, antaranya termasuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan.

Hal ini supaya momentum pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan kerajaan dapat diteruskan melalui Belanjawan 2021, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Abdul Aziz.

Tambah beliau, jika Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan baik, beliau yakin kerajaan mampu mewujudkan pekerjaan, menambah sumber pendapatan, dan merangsang ekonomi setinggi empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, kadar peratusan pengangguran yang berkurangan daripada 5.3 peratus kepada 4.6 peratus adalah hasil kewujudan beberapa program pengekalan pekerjaan dan penyokongan perniagaan.

Ia termasuk Program Subsidi Upah (PSU) dan PSU 2.0, program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, program peningkatan kemahiran dan latihan semula, MySTEP dan Jana Kerja.

- Advertisement -

Belanjawan 2021 adalah hasil usaha pelbagai pihak termasuk rakyat, pihak swasta, NGO dan kerajaan dengan lebih 6,600 cadangan telah dipertimbangkan.

Dengan kata lain, Belanjawan 2021 adalah bajet yang melambangkan suara rakyat, kata Tengku Zafrul lagi.

“Tentu sekali ini bukan masanya untuk mempertaruhkan kesejahteraan rakyat, di kala dunia masih terumbang-ambing.

“Marilah kita menjadi contoh kepada dunia bahawa apabila keadaan sukar melanda, kita mampu merentas ideologi politik masing-masing bagi mengatasinya bersama, demi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi negara. Let us stay the course,” ujarnya.

Antara faktor lain dalam memulihkan ekonomi negara termasuklah sejauh mana kebolehan kerajaan mampu mengawal penularan Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga serta penemuan vaksin bagi wabak tersebut.

Ia termasuk memastikan vaksin dapat disampaikan kepada seramai mungkin rakyat dalam jangka masa yang cepat, kata Tengku Zafrul dalam nukilannya di Facebooknya, semalam.

Ujarnya, seminggu ini adalah minggu yang penting untuk negara kerana undian Belanjawan 2021 akan berlangsung di Dewan Rakyat.

Sejak pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November, pelbagai isu dan pandangan, seruan dan syor, persoalan dan cadangan telah berbangkit.

Beliau akan menjawab secara menyeluruh pada Khamis ini ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021, katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -