NGO Islam gesa Ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam lain menggesa Ahli-ahli Parlimen Malaysia menyokong penuh Belanjawan 2021 yang dijangka melalui proses undian pada esok, Khamis.

Menurut Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa, segala sentimen politik yang memecahbelahkan kuasa dan kepimpinan Melayu dan Islam wajib diketepikan demi kesejahteraan, keselematan dan juga kesihatan rakyat.

Katanya, ahli-ahli parlimen perlu menjunjung kembali Titah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menuntut ahli-ahli parlimen memfokuskan kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

- Advertisement -

Justeru itu, beliau mendakwa bahawa individu yang tidak menyokong Belanjawan 2021 yang akan diundi pada esok merupakan pengkhianat kepada Titah Yang Di-Pertuan Agong dan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan Memorandum Isu Belanjawan 2021 di pintu masuk Parlimen, hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dato’ Johari Abdul dan wakil Ahli Parlimen Arau.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya ahli Parlimen mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara agar Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Titah Al-Sultan Abdullah, Belanjawan 2021 adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman Covid-19.

Turut hadir dalam penyerahan memorandum adalah Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, Presiden Perkid, Masridzi Sat serta wakil dari NGO masing-masing.

Memorandum tersebut mewakili lebih 1,500 NGO Islam di seluruh Malaysia yang menggesa ahli-ahli Parlimen baik dari pembangkang mahupun kerajaan menjunjung Titah Al-Sultan Abdullah supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan. –HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -