Belanjawan 2021 pastikan tiada pihak tertinggal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menjelaskan Belanjawan 2021 yang dibentang kerajaan dikenali sebagai bajet rakyat.

Kata Annuar Musa, kerajaan sanggup menyediakan peruntukan besar bagi menyediakan keselamatan sosial yang cukup tinggi kepada rakyat.

“Ini satu social safety net yang cukup lebar, cukup luas bagi memberikan rakyat rasa terlindung.

“Bagi rakyat merasakan mereka terjaga dengan dasar-dasar fiskal dan non-fiskal dalam belanjawan yang dikemukakan. Maknanya dikatakan tidak ada pihak yang merasakan tertinggal, no one is left behind.

“Sama ada mereka seorang petani, pelajar, pegawai kerajaan atau pekerja industri. Semuanya mendapat sentuhan daripada belanjawan, sebab itu dikatakan belanjawan ini dikatakan belanjawan rakyat,” katanya pada program Bicara Harakah, pada Rabu.

- Advertisement -

Siri Bicara Harakah itu disiar secara langsung di Facebook Harakah TV, Youtube Harakah TV dan Hijau FM.

Turut bertindak sebagai panel, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim manakala Penolong Setiausaha 2 Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Hezry Yasin bertindak selaku moderator.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, segala bantuan langsung dan tidak langsung dipastikan sampai kepada rakyat.

Menurutnya juga, kerajaan melaksanakan agenda bersifat polisi dan non-fiskal yang menjurus kepada langkah mengatasi masalah.

“Dan apa yang lebih penting lagi kebangkitan semula ekonomi. Kalau kita lihat tahun ini misalnya ekonomi kita menguncup sehingga tahap negatif.

“Tetapi kita kena mengandaikan pada tahun depan ekonomi mesti diolah begitu rupa supaya berlaku lonjakan baru,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

(Ikuti kupasan lanjut dalam Harakah versi cetak edisi Isnin ini)

- Advertisement -