Cabaran Bajet 2021 dihadapi banyak negara

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Belanjawan 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewajarnya mendapat sokongan semua pihak memandangkan bajet itu mengambil kira kesukaran rakyat mendepani wabak.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, tumpuan Belanjawan 2021 berkaitan kehidupan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

- Advertisement -

“Rakyat sangat terjejas dari segi kesihatan, keselamatan nyawa dan sebagainya. Belanjawan 2021 juga mengambil kira ramai rakyat hilang pekerjaan.

“Rakyat berdepan dengan kesukaran ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang silih berganti,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, negara sedang berdepan suasana luar biasa sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Ini suatu cabaran besar bukan sahaja kepada negara kita Malaysia, tetapi seluruh dunia.

“Kebanyakan negara juga memperkenalkan pakej-pakej belanjawan yang berbeza dengan mengambil kira masalah dihadapi rakyat,” ujarnya.

Oleh itu katanya, kerajaan PN membentang Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion dikatakan terbesar dalam sejarah negara ini. – HARAKAHDAILY 23/11/2020

- Advertisement -