Lulus belanjawan, berita gembira buat rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) meupakan satu berita gembira buat rakyat, kata Pengerusi Rahmat Care, Ustaz Mohammad Ibrahim.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China (UMC) berkata, tiada pekara yang lebih penting ketika ini melainkan memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Selain itu katanya, Belanjawan 2021 perlu segera disampaikan kepada matlamat dan objektif sasarannya memandangkan ramai dari kalangan rakyat Malaysia terkesan teruk dari aspek sosio ekonomi.

- Advertisement -

Beliau dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan (MoF) yang berjaya membentangkan sebuah belanjawan yang menyeluruh di dalam situasi negara hari ini.

Katanya, ia tentunya bukan perkara mudah untuk berdepan dengan situasi hari ini, namun Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Abdul Aziz berjaya melakukannya walaupun baru sahaja mentadbir kementerian itu.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily bagi mengulas berhubung kelulusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar.

Belanjawan 2021 diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -