Pembangkang ketepi kepentingan rakyat dan negara

Pembangkang tolak Belanjawan 2021, saling tidak sehaluan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir Ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021 jelas mengenepikan kepentingan rakyat dan negara, terutamanya ketika negara berada di dalam situasi untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, pembangkang bukan sahaja tidak sehaluan, bahkan secara jelas melanggar Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka secara jelas melanggar Titah Yang di-Pertuan Agong serta mengenepikan kepentingan rakyat dan negara ketika menghadapi situasi getir membendung Covid-19.

- Advertisement -

“Bahkan memberi gambaran bahawa mereka mengutamakan kepentingan politik yang sempit berbanding kepentingan rakyat dan negara.

“Ini secara langsung menunjukkan pakatan pembangkang sudah tidak sehaluan dan tidak sepakat,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Ahli-ahli Parlimen Malaysia memberi sokongan padu pada Belanjawan 2021.

Baginda menitahkan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Semalam, Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat setelah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun, pada jam 3.28 petang.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar daripada PAN bangkit meminta pengundian diputuskan secara belah bahagi.

Namun, aturan itu tidak dapat diadakan apabila gagal memenuhi syarat minimum sokongan 15 Ahli Parlimen seperti ditetapkan Peraturan Mesyuarat. –HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -