Manfaatkan Belanjawan 2021 – DMPM

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru rakyat Malaysia memanfaatkan secara optimum Belanjawan 2021 yang lulus di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Ketua Penerangan DMPM, Dr Najihatussalehah Ahmad, rakyat disaran mengambil sebanyak mungkin manfaat dari Belanjawan 2021 untuk kemaslahatan keluarga selain berusaha memajukan diri dalam memastikan hidup lebih terjamin pada masa akan datang.

Mewakili DMPM, beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di atas pembentangan belanjawan yang teliti dan mementingkan kelangsungan hidup rakyat.

Advertisement

Kelulusan Belanjawan 2021 katanya merupakan satu berita gembira dan beliau amat berterima kasih kepada Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan negara kali ini, ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar.

Belanjawan 2021 diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi. –HARAKAHDAILY 27/11/2020