PKPB: Jangan rentas daerah, patuh arahan polis

- Advertisement -

PARIT: Rakyat diseru untuk terus memberikan kerjasama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara kecuali negeri Pahang, Kelantan dan Perlis ketika ini.

- Advertisement -

Yang DiPertua PAS Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berharap agar larangan rentas daerah yang sedang dikuatkuasakan, dipatuhi dan menyeru masyarakat kekal tenang dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Beliau mengulas demikian ketika membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso, bersempena hari ulang tahun beliau dan diserahkan kek oleh PAS Parit semalam.

Barudin juga turut menegaskan bahawa pihak Polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi sempadan antara negeri dan daerah bertujuan menjaga keselamatan dan kesihatan masyarakat, sebagai usaha membendung penularan COVID-19.

“Walaupun ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dan ada juga yang menzahirkan kemarahan mereka kepada anggota keselamatan yang penat lelah bertugas, namun saya sentiasa berpesan kepada anggota agar terus komited dan bersabar dengan karenah yang ada,” ujar beliau dalam pertemuan tersebut.

Ustaz Muhammad Ismi turut mengulas mengenai sikap memandang remeh pandemik COVID-19 yang menurut dakwaan sesetengah pihak dikatakan sebagai perancangan pihak-pihak tertentu.

“Sekalipun jika benar virus ini adalah ciptaan atau rekaan, ianya adalah nyata dan angka korban mahupun mereka yang terjejas disebabkan wabak ini adalah angka yang nyata dan virus ini secara nyata sedang melanda seluruh dunia.

“Tugas kita adalah berhadapan dengan wabak ini, dan berikan kerjasama kepada pihak bertanggungjawab untuk bersama menanganinya. Soal agenda propaganda bukanlah urusan utama kita kerana perintah membendung penyakit juga adalah wajib dalam Islam,” tegas Muhammad Ismi lagi.

Pimpinan PAS Parit yang turut serta dalam kunjungan itu adalah Timbalan Yang DiPertua, Zawawi Ghazali dan Bendahari, Abdul Razak Mat Taha serta Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Muhammad Salim Mat Taib. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -