Belanjawan 2021: Elaun tambahan buat frontliner

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju untuk memberi tambahan Elaun Khas Covid-19 kepada anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak RM500 secara one-off.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sejak Mac lalu, kerajaan telah memberikan Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan KKM.

Menurutnya, elaun itu akan diteruskan sehingga ancaman pandemik ini berjaya diatasi.

“Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan 100 ribu petugas kesihatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Sementara itu, katanya kerajaan bercadang untuk menaikkan siling Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion, sekali gus nilai keseluruhan adalah RM65 bilion.

Jelasnya, tujuan utama cadangan itu adalah untuk membiayai pakej KITA PRIHATIN, bantuan tambahan bagi kesejahteraan rakyat, keperluan barisan hadapan dan perolehan vaksin.

“Tahun ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan Covid-19 antaranya untuk membeli kelengkapan Perlindungan Diri (PPE), reagen dan bahan guna habis.

“Bagi tahun hadapan, sebanyak RM1 bilion lagi akan diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga Covid-19,” ujarnya.

Menurutnya, peruntukan itu merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan atau KKM.

Selain itu, sebanyak RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan KKM dan RM150 juta ringgit kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19.

Manakala, katanya sejumlah RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti serta menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baharu. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -