PRK Slim ukur keupayaan setiap pihak

Tiada parti mampu menang memerintah bersendirian pada PRU15

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Keputusan PRK DUN N.58 Slim bakal menjadi petunjuk dan pengukur kepada situasi semasa politik negara, demikian pandangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.

- Advertisement -

Khususnya ujar beliau, corak sokongan anak muda kepada agenda penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional (MN), setelah mereka pada PRU14 lalu menjadi penyumbang kepada kemenangan PH, sementara PRK Slim menampilkan calon-calon muda.

Turut boleh menjadi ukuran ujar Ustaz Ismi, sokongan masyarakat Melayu, Cina dan India yang masing-masing mewakili taburan 75.6 peratus, 10.7 peratus dan 13.7 peratus di mana ia adalah penilai kecenderungan rakyat Malaysia ketika ini.

“PRK ini juga penting dalam menguji sejauh mana BN dan PAS mampu mengekalkan jumlah undi diperolehi pada PRU14, sebagai tanda sokongan berterusan. Pada PRU14, undi diperolehi calon BN 8,327 dan PAS 4,103, menjadikan jumlah 12,430 undi.

“Mampukah BN dan PAS mempertahan jumlah undi tersebut?” ulasnya ketika menyampaikan ceramah kelompok di Kampung Sabar Jaya, Changkat Sulaiman, Slim River, di sini kelmarin.

Beliau turut mengulas corak sokongan yang bakal diterjemahkan oleh penyokong BERSATU di mana pada PRU14 mendapat 6,144 undi sama ada akan turut beralih menyokong calon Muafakat Nasional atau pergi kepada calon Bebas pro-PEJUANG.

Perkembangan ini disifatkan Ustaz Ismi bakal mengukur dan menentukan kekuatan sebenar PEJUANG yang baharu ditubuhkan, selain boleh dilihat tahap sokongan masih terdapat kepada Pakatan Harapan secara tidak langsung.

Pun begitu tegas beliau yang juga Pegawai Khas Presiden PAS, tiada parti dalam Muafakat Nasional, baik PAS, Umno mahupun BERSATU, termasuk di kem pembangkang yang mampu berdiri sendiri untuk berhadapan dengan PRU15.

“Berdasarkan rekod undian yang diterima, hanya lima daripada 27 kerusi DUN BN yang berjaya dimenangi dengan jumlah undi melebihi 50 peratus, manakala hanya dua kerusi Parlimen dimenangi dengan jumlah undi melebihi 50 peratus. Bermakna jika Umno memilih untuk bertanding sendirian, hanya lima kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen yang dapat dikekalkan.

“Tiada laluan mudah, bukan sahaja untuk Umno, bahkan kepada PAS dan BERSATU untuk memenangi PRU15 melainkan dengan kerjasama antara ketiga-tiga Parti utama orang Melayu itu,” tegasnya dalam majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berharap dan merayu agar semua pengundi-pengundi di DUN Slim turun dan menyatakan sokongan tanpa belah bahagi kepada koalisi terbesar penyatuan Melayu itu, sebagai isyarat kebangkitan dan penyatuan umat Islam dan Melayu. – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -