Tekad laksana Islam beransur-ansur, ikut waqi’

- Advertisement -

TELUK INTAN: PAS Negeri Perak tetap bertekad memainkan peranan memartabatkan hukum hakam dan mengisi kemenangan Islam di negeri ini sungguhpun sekadar mempunyai tiga wakil dalam kerajaan pemerintah.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, keberadaan PAS kini bersama dalam kerajaan negeri, bahkan juga Kerajaan Persekutuan adalah peluang untuk melaksanakan agenda Islam dan bukannya kepentingan peribadi.

Beliau menyampaikan taujihat perjuangan itu di dalam program Liqa’ Fikri Bulanan PAS Kawasan Teluk Intan di KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini malam tadi.

“Kebanyakan kita yang berada di sini pernah berjuang sebagai bukan parti pemerintah. Dan (kini) perjuangan kita sebagai parti pemerintah telah memberikan perubahan yang sangat besar kepada (kaedah) perjuangan kita dalam memartabatkan hukum hakam Islam.

“(Tidak dinafikan) ada cabaran yang sangat besar dalam mengisi kemenangan Islam. Kita sekadar mempunyai dua orang EXCO di Perak. Maka dalam kemampuan yang terbatas ini menjadikan cabaran kita sangat besar dan kita perlu tempuhi secara bersama,” serunya.

Selain itu pintanya, ahli PAS hendaklah bergerak secara jamaie bagi memanfaatkan kemampuan selaku parti pemerintah sebagai langkah permulaan melaksanakan Islam secara beransur-ansur mengikut suasana dan waqi’ semasa.

Beliau turut mengingatkan seluruh ahli PAS khususnya pemimpin agar mengisi kemenangan dengan menunaikan tanggungjawab dan berlaku adil terhadap semua rakyat berpandukan hukum Allah dan Rasul-Nya.

“Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka (yang) berjaya melaksanakan Islam mengikut kemampuan yang ada dalam diri kita. Sama ada diberi jawatan atau tidak diberi jawatan, matlamat dan kaedah perjuangan kita tidak akan berubah,” ujar Razman.

Beliau turut berpesan supaya menghayati firman Allah di dalam surah Al Hajj yang telah menggariskan bahawa setiap kekuasaan itu dikurniakan sebagai pilihan buat hamba yang dikehendaki-Nya.

Menurut beliau, PAS khususnya di Perak merupakan parti yang telah merasai dua fasa perjuangan di mana sebelum ini bertindak sebagai parti pembangkang dan kini pula sebagai parti kerajaan dalam gabungan Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -