Tun M negarawan yang pelik

- Advertisement -

SAYA cuba berfikir secara adil. Atas alasan apa Tun M begitu benci kepada Umno? Sedangkan usia politik Tun hampir menghabisi seluruh usia Tun. Bahkan Tun menjawat jawatan Presiden Umno lebih lama dari Presiden-presiden Umno yang lain. Tidak sedikit jasa Umno kepada Tun, anak-anak dan kroni Tun. Kemudian saya cuba juga berfikir mengapa Tun boleh menjilat kembali semua tuduhan dan seranah beliau terhadap DAP sekian lama. Tun memusuhi DAP sejak DAP menyusu di atas riba PAP lagi. Kini Tun bukan setakat mesra DAP, bahkan dalam isu-isu tertentu semacam Tun pula Pengerusi DAP Malaysia.

- Advertisement -

Kemudian saya cuba bandingkan pula dengan PAS. Sekian lama PAS bertembung dengan Umno di pentas politik. Dalam pertarungan itu tidak sedikit luka yang PAS terima dari tikaman keris Umno. Peristiwa kematian Ustaz Samad Gol, Lubuk Merbau dan Memali antara luka parah yang merobek jasad PAS. Namun tiba-tiba PAS bersalaman dan berpelukan penuh ukhuwah dengan Umno disaksikan oleh catatan sejarah negara. Air mata kegembiraan menitis membasahi Dewan di PWTC.

Saya juga berfikir, PAS pernah bersama DAP sebanyak dua kali dalam gelanggang politik iaitu ketika gabungan Angkatan Perpaduan Ummah dan Pakatan Rakyat. Dalam dua siri persefahaman politik itu tidak sedikit tentunya jasa dan pertolongan DAP kepada PAS. Jadi ada empat perkara saya fikirkan dalam perbandingan itu:

  1. Tun datang dari Umno dan hidup dengan jasa-jasa Umno. Tiba-tiba berpatah arang dengan Umno.
  2. Tun musuh DAP, tiba-tiba demi menghadapi Umno Tun sanggup bersama DAP.
  3. Umno musuh politik PAS dan sepanjang itu merasai kesakitan dari Umno, tapi PAS sanggup berdamai dengan Umno. Begitu juga dengan Umno.
  4. DAP yang boleh dikatakan pernah juga berjasa membantu PAS tapi PAS sanggup meninggalkan DAP.

Kenapa?.. Kenapa dan kenapa?. Apa beza Tun dengan PAS? Jawapannya ialah Tun berfikir dalam kerangka Sekular yang sempit. Manakala PAS berfikir dalam kerangka Islam yang luas dan besar. Tanpa kita sedari bahawa apa jenis Sekular sekalipun ianya adalah sebuah fahaman yang berkonsepkan ‘keakuan’. Sebab itu mereka pisahkan kehidupan dari agama. Kerana agama di sifatkan sebagai penghalang kepentingan diri dan nafsu.

Manakala Islam pula dasarnya berkonsepkan ‘ketundukan’ kepada Allah. Oleh itu Tun bersedia menolak dan bermusuh dengan Umno bila didapati Umno tidak lagi mampu melayan kehendak dan kepentingan Tun. Kemudian Tun sanggup tunduk kepada DAP demi menjaga kepentingan politik dan ekonomi Tun. Walau terpaksa menjilat kembali segala ludah yang pernah disembur kepada DAP sebelum itu.

Adapun PAS, yang membawa dasar Islam, iaitu ketundukan kepada Allah. Maka tidak sukar untuk PAS berbaik dan berukhuwwah dengan Umno serta berpatah arang dengan DAP demi Islam. Islam adalah segala-galanya bagi PAS. Manakala parti Sekular pula nafsu dan kepentingan diri adalah segala-galanya bagi mereka.

Jadi tidak hairan jika Tun dan PAS itu berbeza. Kerana Tun mendokong pemikiran Sekular manakala PAS mendokong akidah dan fikrah Islam.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Kuantan, Pahang – HARAKAHDAILY 26/5/2020

- Advertisement -