Masalah nelayan sentiasa usaha diatasi

- Advertisement -

KITA bentangkan faktor-faktor yang mempengaruhi rantaian bekalan makanan negeri seterusnya memberikan kesan kepada harga barangan supaya ada dalam makluman rakyat. Tanpa menafikan kelemahan serta kelebihan yang kita ada. Dengan makna isu ini memang dalam perhatian hasil dari gerak kerja turun sendiri ke lapangan secara berterusan.

Bila faktor serta penyebab telah dikenal pasti maka tindakan seterusnya ialah bekerja untuk mengatasinya. Dalam tempoh 2 tahun, pelbagai perkembangan usaha telah kita buat bagi memajukan sektor pertanian negeri seterusnya merealisasikan matlamat menjadikan Terengganu sebagai hub pengeluaran makanan.

- Advertisement -

Dalam sektor perikanan sebagai contoh:

Kita fokus kepada usaha memperkayakan sumber perikanan dengan program melabuhkan tukun dan unjam di perairan semua daerah Terengganu dengan dana Kerajaan Negeri serta Pusat. Sumber ikan di Perairan Terengganu sudah sangat berkurangan. Maka usaha memperkayakan semula sumber wajib dibuat.

Usaha secara berperingkat telah dibuat bagi mendalamkan 14 muara sungai yang ada di Terengganu untuk memudahkan pergerakan bot nelayan keluar masuk. Sebelum ini banyak bot Terengganu yang terpaksa mendaratkan hasil di jeti negeri lain kerana masalah muara.

Pembinaan kilang air batu baru telah dibina di Dungun dan Pulau Kambing dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan syarikat swasta bagi mengatasi masalah kekurangan air batu untuk bekalan bot nelayan.

Pencerobohan dan penguatkuasaan ialah bidang kuasa Federal. Kerajaan Negeri sentiasa menyalurkan maklumat, pandangan dan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya tindakan berterusan terus diambil dalam menangani isu nelayan asing. Hampir setiap kali mesyuarat bersama Menteri, saya bangkitkan isu ini.

Terbaru Kerajaan Negeri menubuhkan Task Force bagi menyelesaikan isu nelayan sampan yang tak berlesen. Terdapat kira-kira 1,000 nelayan sampan yang tak berlesen di Terengganu.

Kebajikan nelayan juga diambil kira. Antara yang utama ialah tempat tinggal. Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) kerjasama Kerajaan Negeri dan LKIM dalam proses untuk dibina di Benting Lintang Besut, Penarik Setiu dan Pulau Skepeng Kemaman.

Kerajaan Negeri juga telah menyiapkan bilik sejuk (cool room) di Marang dan tempat baiki bot (slip way) juga di Marang.

Untuk nelayan yang ditimpa bencana, Kerajaan Negeri menyediakan Tabung Bencana Pertanian. Nelayan mangsa ombak besar di Batu Rakit dan mangsa bot terbakar di Merang antara penerima awal bantuan melalui tabung ini.

Dana melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) disediakan untuk nelayan membeli kelengkapan kelaut seperti enjin bot dan baik pulih bot. Telah ada nelayan yang turun kelaut dengan kelengkapan yang dibiayai dari dana SBMT.

Pada tahun ini, kita masukkan dalam Bajet 2020 untuk bantuan peralatan dan kelengkapan nelayan seperti pukat atau bubu.

Ini sebahagian tindakan yang telah kita ambil dalam sektor perikanan laut. Nanti saya sambung lagi untuk sektor perikanan akuakultur dan perikanan darat.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -