Covid-19: Malaysia memasuki fasa pemulihan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes pulih daripada Covid-19 menunjukkan trend positif Covid-19 menurun dan kadang kala mendatar.

- Advertisement -

Trend ini sekaligus berjaya meratakan lengkuk graf dan menjadikan Malaysia sedang memasuki fasa pemulihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kejayaan ini adalah hasil tindakan pro-aktif dan agresif dari kerajaan membendung penularan Covid-19 sepanjang tempoh sebelum dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ini membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menampung fasiliti untuk bilangan pesakit Covid-19 termasuk kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kapasiti penggunaan mesin bantuan pernafasan di hospital-hospital kerajaan.

Namun demikian katanya, PKP tidak boleh menghapuskan Covid-19 sepenuhnya malahan rakyat perlu bersedia menghadapi virus ini untuk tempoh yang lebih panjang.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneruskan aktiviti pembendungan dan pengawalan meskipun penglibatan aktif rakyat adalah amat penting sekali.

“Justeru itu, dua tindakan mesti dan perlu terus diambil oleh rakyat dalam memerangi Covid-19 adalah meneruskan amalan penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurangnya satu meter.

“Menjaga tahap kebersihan diri terutamanya kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer,” kata Noor Hisham dalam sidang media harian KKM di sini, hari ini.

Tambahnya, amalan ini akan membantu negara memerangi virus Corona yang ketika ini vaksin untuk menentang virus ini masih belum terhasil.

Perkembangan terkini mengenai Covid-19, beliau berkata hari ini sebanyak 75 kes telah pulih dan dibenarkan pulang.

Katanya, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 4,032 kes iaitu bersamaan dengan 68.9 peratus.

Berbanding dengan jumlah kes baharu positif Covid-19 katanya yang direkodkan pada hari ini sebanyak 31 kes.

Kata Noor Hisham, ini menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 1,719 manakala jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,851 kes.

Sementara itu, 36 kes sedang dirawat di ICU daripada jumlah yang sedang dirawat di ICU, seramai 17 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan terdapat satu kematian Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 100 kes.

Mangsa yang meninggal merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun mempunyai latarbelakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan strok.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh pada 4 April dan menghembuskan nafas pada jam 9:40 pagi tadi.- HARAKAHDAILY 28/4/2020

- Advertisement -