‘Scammer’ agama

- Advertisement -

MARI kita kenali siapakah scammer agama yang saya maksudkan. Bagaimana cara mereka lakukan dan tujuannya. Saya akan menunjukkan kepada anda hujahan dalam Islam yang mereka gunakan secara salah.
 
Mendakwa mereka sahaja yang betul
 
Mengatakan bahawa virus ini tidak akan mengenai orang yang beriman kerana wuduk dan sebagainya, mereka sekadar mahu menunjukkan kepada umum bahawa wuduk yang diambil orang lain itu kononnya tidak betul. Bermaksud, sesiapa yang berwuduk dengan betul, akan terhindar dari penyakit berjangkit.
 
Untuk dakwaan ini, adakah mereka ingin mengatakan bahawa Abu Ubaidah al-Jarrah itu tidak betul wuduknya, kerana Abu Ubaidah meninggal disebabkan penyakit berjangkit. Adakah Sahabat yang dijamin syurga seperti Abu Ubaidah kurang ilmu wuduknya daripada golongan ini?

- Advertisement -

Salah medan perang
 
Ada golongan yang mendakwa, jangan lari dari COVID-19 ini. Mereka juga makhluk Allah. Kita akan lawan. Kemudian dengan bangganya ketua mereka melaungkan, jika ada terdapat tempat yang terkena virus, hantarkan orang-orang mereka ke sana untuk memulihkan keadaan kerana virus takutkan mereka. Itulah akibatnya jika memberikan ‘microphone’ kepada orang bodoh. Bercakaplah dia bagaikan orang sasau.
 
Nabi S.A.W bersabda bahawa antara dosa-dosa besar ialah lari dari medan peperangan. Itu pun ada kelonggaran jika mahu mengatur semula strategi. Manakala arahan Nabi yang lain ialah, menyuruh kita lari dari penyakit kusta iaitu sejenis penyakit berjangkit sebagaimana kita lari apabila melihat singa. Dan seperti yang ramai ketahui Rasulullah larang keluar atau masuk dari atau ke kawasan berpenyakit.
 
Jadi, berperang dengan manusia musuh Allah, guna senjata, betul, jangan lari kerana menjaga agama. Tetapi apabila ada penyakit berjangkit, lari lah pak cik oiii, bukan lawan kita. Kalau nak lawan pun, bukan dengan pedang atau senapang, tetapi dengan ubat atau saranan pakar, itulah senjatanya. Dalam perang Badar Rasulullah terima nasihat Sahabat berkenaan strategi, Perang Khandak juga diterima idea Salman.
 
Maka dalam perang melawan penyakit perlu didengari saranan pakar-pakar perubatan untuk melawan penyakit sebagai musuh manusia itu. Di sini kita disuruh pula oleh Allah untuk menjaga nyawa kita. Bukankah itu arahan Allah? Jelas bahaya pemikiran golongan sebegini yang akhirnya Islam menjadi mangsa fitnah.
 
Bajet wali
 
COVID-19 konon tidak singgah kepada dia kerana dia seorang wali. Tetapi sifat wali ialah mengajar ilmu, tidak mengajar karamah. Karamah diberikan oleh Allah secara tidak dipelajari. Contoh Saidina Umar menyeru kepada tentera Islam ketika perang supaya bersembunyi, sedangkan beliau sedang berkhutbah di Madinah, perang pula di tempat lain. Tak ada live FB zaman itu. Ilmu ini Umar tidak boleh ajarkan.
 
Begitu juga dengan kisah yang masyhur di Malaysia iaitu seorang wali menumpang kenderaan yang kemudiannya kehabisan minyak. Wali itu meletakkan air di dalam tangki ganti minyak. Karamah itu bukan hari-hari dan wali itu tidak pula menyuruh tuan kereta supaya membuang dahulu semua minyak di dalam tangki kerana bersungguh-sungguh nak tunjuk yang dia ada karamah untuk ditularkan orang.
 
Wali itu buat dahulu semuanya seperti biasa, mengikut adat dan sebab iaitu kereta bergerak kerana adanya minyak. Selepas itu baharulah kerana kecemasan, dia diizinkan Allah menggunakan karamahnya. Inilah wali yang sebenar-benarnya mempunyai ilmu. Mengajar manusia erti usaha dan tawakal dengan betul. Dan dalam kes Saidina Umar itu, tentera Islam tetap berperang sebagai sebab untuk menang.
 
Dia paling tinggi keyakinan
 
Katanya COVID-19 tidak akan memberikan kesan, yakinlah hanya Allah sahaja yang memberikan segalanya. Sebenarnya, tiada siapa yang beriman, menafikan itu. Malah merekalah menafikan sebab, terus terjun kepada kesan sesuatu kejadian. Sementara dalam keyakinan mereka begitu tinggi, mereka tetap menggunakan pembesar suara ketika membuat ucapan berapi-api itu.
 
Tiada seorang dari kalangan mereka yang menegur supaya dibuang ‘microphone’ itu dan juga jangan disiarkan melalui video ucapan itu, atas keyakinan pesanannya itu akan sampai kepada pendengar yang berada di luar kawasannya. Kenapa tidak dibuat sebagaimana Rasulullah yang memberikan khutbah wada’ di Arafah, tanpa pembesar suara tetapi didengari oleh ribuan manusia.
 
Atau menyeru ucapannya itu sebagaimana Nabi Ibrahim menyeru manusia mengerjakan haji, tanpa manusia di hadapannya, tetapi tetap sampai di hati-hati manusia. Dah terlanjur tawakal tahap dewa, tak akan tak boleh buat macam yang dicontohi para Nabi? Atau tak yakin suara dia akan sampai?
 
Maka ternyatalah semua ini hanyalah scam yang diperelokkan bagi mereka menipu manusia menggunakan agama. Mereka mahukan manusia kagum dengan pegangan mereka atau jamaah mereka. Mereka menjual produk mereka dengan cara menipu dan menganggap orang mudah diperbodohkan. Apatah lagi negara sedang memerhatikan mereka. Makin menjadi-jadilah ‘eksyen’ mereka.
 
‘Scammer’ hanya akan berjaya jika ada peluang, manusia dalam keadaan tamak, bodoh dan ditekan oleh pemangsanya. Oleh itu mereka gagal kerana rakyat Malaysia sedar akan ilmu yang diperlihatkan itu, hanyalah kosmetik yang memperdayakan umat. Rakyat Malaysia tidak se‘goblok’ itu.
 
Jangan percaya kepada ‘scammer-scammer’ ini. Mereka akan menggunakan anda hanya untuk kepentingan mereka. Mencari populariti tetapi jahil dalam agama. Tak ubah mereka seperti ‘scammer’ wang, cuba mendapatkan wang anda, kemudian meninggalkan anda bankrupt.
 
Apabila segalanya tidak menjadi, maka ‘scammer’ agama ini akan menuding jari kepada anda dengan mengatakan anda adalah pendosa, tidak ikhlas, tidak yakin yang menghalang rahmat Allah. Mereka akan menyalahkan semua, kecuali kumpulan mereka. Beginilah modus operandi mereka.
 
Sebab itu dalam Islam, kita akan ada golongan juhalak, iaitu golongan yang bodoh, mudah dipergunakan orang. Terkadang menjadi fanatik melampau kerana sudah didoktrinkan pemikirannya. Mereka sungguh bersemangat, tetapi amalan tiada, ilmu pun tiada. Hanya menjadi tukang sorak atau tukang pukul.

Golongan kedua ialah ‘ubbaad iaitu kumpulan ahli ibadat yang kerja mereka beribadat sahaja. Mereka ini jika diberikan ruang untuk mengajar, mungkin akan menjadi kacau kerana mereka hanya tahu beribadat dengan lurus bendul. Ingat kisah pembunuh yang membunuh 99 orang, kemudian berjumpa dengan seorang abid? Abid itu telah menambah koleksi dosa pembunuh itu kerana kebodohannya berfatwa.

Ketiga ialah ulamak. Yang paling takutkan Allah ialah ulamak. Mereka adalah sekumpulan manusia alim yang mengetahui akan ilmu agama dengan benar. Mereka mengamalkannya, mengajarkannya dan tahu bila mahu beribadat, bagaimana, di mana, yang mana dahulu dan segala aturan yang mengikut keadaan.

Inilah golongan yang sebenar-benarnya perlu kita ikuti. Mereka akan membawa kita ke syurga. Mereka adalah pewaris Anbiya’. Mereka tidak akan mengecewakan manusia yang menuruti mereka. Mereka tidak menyembunyikan ilmu, malah mereka menyebarkannya dengan ikhlas. Mereka bukan scammer agama.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 20/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -