Lantikan TS Muhyiddin tepati dapatan kaji selidik

- Advertisement -

TERENGGANU Strategic & Integrity Institute (TSIS) telah membuat jangkaan tepat mengenai keputusan PRK Tanjung Piai melalui kaji selidik bebasnya pada 7-9 November 2019, begitu juga dengan keputusan PRK Kimanis melalui kaji selidik bebasnya pada 10-15 Januari 2020.

- Advertisement -

Terbaru, TSIS dengan kerjasama sekumpulan penyelidik dari sebuah institusi pengajian awam tempatan telah melakukan satu kaji selidik bebas bertajuk “Kaji Selidik Mengenai Situasi Politik Semasa Negara” bagi membolehkan satu rumusan objektif mengenai situasi politik semasa negara dibuat.

Kaji selidik ini dilakukan secara tatap muka selama 20 hari, iaitu pada 1-20 Februari 2020, dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Ia merangkumi 1,451 responden membabitkan semua kaum, jantina dan peringkat umur di kesemua 222 Parlimen di 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan di seluruh Malaysia, yang terdiri daripada 1 peratus daripada bilangan pengundi di setiap Parlimen.

Berikut adalah disiarkan sebahagian daripada dapatan kaji selidik tersebut.

Maklumat peribadi responden

Dari segi jantina, 52 peratus (755) daripada responden adalah lelaki dan 48 peratus (696) adalah perempuan.

Dari segi usia, 22 peratus (319) daripada responden berusia 21 – 30 tahun, 26 peratus (377) daripada responden berusia 31 – 40 tahun, 24 peratus (348) berusia 41 – 50 tahun, 18 peratus (261) berusia 51 – 60 tahun dan 10 peratus (146) berusia lebih 60 tahun.

Dari segi etnik, 69 peratus (1001) daripada responden adalah Bumiputera, 23 peratus (334) daripada responden adalah Cina, 7 peratus (102) adalah India dan 1 peratus (14) adalah Lain-Lain.

Dari segi kawasan kediaman, 37 peratus (537) daripada responden menetap di Bandar, 28 peratus (406) menetap di Pinggir Bandar, 34 peratus (493) menetap di Kampung dan 1 peratus (14) menetap di Lain-Lain.

Dari segi pekerjaan, 28 peratus (406) daripada responden adalah Berniaga/Bekerja Sendiri, 13 peratus (189) adalah Kakitangan Awam, 24 peratus (348) adalah Kakitangan Swasta, 25 peratus (363) adalah Surirumah/Pesara dan 10 peratus(145) adalah Tidak Bekerja/Pelajar.

Pandangan mengenai situasi politik semasa negara

Sebanyak 30 soalan telah dikemukakan kepada kesemua responden.

2 daripada 30 soalan adalah melibatkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana didapati bahawa:

(1) 62 peratus (899) daripada responden bersetuju bahawa kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU 14 adalah berpunca daripada kepimpinan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding 33 peratus (479) yang tidak bersetuju.

(2) 53 peratus (769) daripada responden berpuas hati dengan prestasi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia berbanding 41 peratus (595) yang tidak berpuas hati.

3 daripada 30 soalan adalah melibatkan peralihan kuasa, di mana didapati bahawa:

(1) 35 peratus (507) daripada responden bersetuju bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad paling sesuai meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada PRU 15 berbanding 17 peratus (247) pada selepas PRU15, 16 peratus (232) pada November 2020, 11 peratus (160) pada Mei 2020, 8 peratus (116) pada Mei 2021 dan 6 peratus (87) pada Mei 2022.

(2) 59 peratus (856) daripada responden tidak bersetuju bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin Pakatan Harapan yang paling sesuai untuk menggantikan tempat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia berbanding 33 peratus (479) yang bersetuju.

(3) 34 peratus (493) daripada responden meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada BERSATU sebagai pilihan pertama mereka untuk menggantikan tempat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia, diikuti oleh 22 peratus (319) yang memilih Dato’ Seri Mohamad Hassan daripada Umno dan 16 peratus (232) yang memilih Dato’ Seri Azmin Ali daripada PKR.

3 daripada 30 soalan lagi adalah melibatkan pensejajaran semula pemerintahan negara, di mana didapati bahawa:

(1) 62 peratus (900) daripada responden bersetuju dengan cadangan supaya BERSATU segera bergabung dengan Muafakat Nasional dan parti-parti politik di luar Pakatan Harapan lain berbanding 29 peratus (420) yang tidak bersetuju.

(2) 55 peratus (798) daripada responden bersetuju dengan cadangan supaya Parlimen segera dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik negara berbanding 37 peratus (537) yang tidak bersetuju.

(3) 51 peratus (740) daripada responden bersetuju dengan cadangan supaya Pakatan Harapan segera bergabung dengan Muafakat Nasional dan menubuhkan kerajaan perpaduan berbanding 38 peratus (551) yang tidak bersetuju.

2 daripada 30 soalan lagi adalah melibatkan pakatan politik, di mana didapati bahawa:

(1) 59 peratus (856) daripada responden bersetuju bahawa Pakatan Harapan adalah didominasi oleh golongan bukan Islam dan ini akan mengancam kestabilan negara berbanding 32 peratus (465) yang tidak bersetuju.

(2) 72 peratus (1045) daripada responden berpendapat bahawa DAP adalah parti politik yang paling memberikan masalah kepada keutuhan Pakatan Harapan sebagai satu pakatan politik dan sebagai Kerajaan Pusat.

Analisa ke atas dapatan kaji selidik

Secara kebetulannya telah berlaku perubahan besar dalam situasi politik semasa negara hanya tiga hari setelah survei ini dilakukan membabitkan:
(1) Tindakan 11 Ahli Parlimen PKR diketuai oleh Dato’ Seri Azmin Ali keluar daripada PKR.
(2) Tindakan BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan.
(3) Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
(4) Lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim.

Disebabkan perubahan besar ini maka setiap pakatan politik berlumba-lumba untuk membuat pensejajaran semula pemerintahan negara dengan mencadangkan nama-nama tertentu, khasnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Berdasarkan dapatan kaji selidik kami ini maka kami berpendapat bahawa turutan pilihan yang perlu digunakan bagi menyelesaikan kemelut politik semasa negara sekarang adalah:
(1) Penggabungan segera BERSATU dengan Muafakat Nasional dan parti-parti politik di luar Pakatan Harapan lain yang mendapat sokongan 62 peratus (900) daripada responden.
(2) Pembubaran segera Parlimen bagi membolehkan PRU 15 dilangsungkan yang mendapat sokongan 55 peratus (798) daripada responden.
(3) Penggabungan segera Pakatan Harapan dengan Muafakat Nasional dan menubuhkan kerajaan perpaduan yang mendapat sokongan 51 peratus (740) daripada responden.

Disebabkan 59 peratus (856) daripada responden bersetuju bahawa Pakatan Harapan adalah didominasi oleh golongan bukan Islam dan ini akan mengancam kestabilan negara serta 72 peratus (1,045) daripada responden berpendapat bahawa DAP adalah parti politik yang paling memberikan masalah kepada keutuhan Pakatan Harapan sebagai satu pakatan politik dan sebagai Kerajaan Pusat, maka mana-mana cadangan penubuhan kerajaan baru yang melibatkan DAP sepatutnya tidak menjadi pilihan.

Walaupun 62 peratus (899) daripada responden bersetuju bahawa kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU 14 adalah berpunca daripada kepimpinan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan 53 peratus (769) daripada responden berpuas hati dengan prestasi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia, tetapi disebabkan cadangan lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri di dalam penubuhan kerajaan baru masih melibatkan DAP, maka cadangan lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya tidak menjadi pilihan.

Disebabkan 59 peratus (856) daripada responden tidak bersetuju bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin Pakatan Harapan yang paling sesuai untuk menggantikan tempat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dan 34 peratus (493) daripada responden meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada BERSATU sebagai pilihan pertama mereka untuk menggantikan tempat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka cadangan lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri di dalam penubuhan kerajaan baru yang tidak akan melibatkan DAP adalah pilihan terbaik yang ada.

Sebab itulah TSIS berpendapat bahawa tindakan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri di dalam penubuhan kerajaan baru yang disertai oleh BERSATU, Umno, PAS dan parti-parti politik di luar Pakatan Harapan lain adalah satu keputusan cukup bijaksana yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bertepatan dengan dapatan kaji selidik ini.

Lantikan ini adalah refleksi kepada aspirasi rakyat terbanyak, di mana gabungan undi kesemua parti politik ini jauh mengatasi gabungan undi parti-parti politik di dalam Pakatan Harapan di dalam keputusan PRU 14 manakala calon-calon Pakatan Harapan juga mengalami kekalahan teruk di dalam lima PRK terakhir yang disertai oleh Muafakat Nasional.

DR WAN MAT SULAIMAN
Ketua Eksekutif TSIS – HARAKAHDAILY 6/3/2020

- Advertisement -