K’jaan gabungan baharu, jalan keluar kekusutan politik?

- Advertisement -

KEBIASAANNYA kerajaan ditubuhkan oleh gabungan parti yang memenangi pilihan raya. Pemimpin utama akan dinamakan sebagai Perdana Menteri, dan parti-parti yang menang akan menghantar pemimpin mereka untuk memegang jawatan dalam kabinet. Ini cara biasa berlaku selepas pilihan raya umum.

- Advertisement -

Perdana Menteri dan kabinet memegang jawatan sehingga Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum berikutnya. Hal ini disebut dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tempoh itu, boleh berlaku pertukaran Perdana Menteri melalui peletakan jawatan secara sukarela bila-bila masa sahaja.

Bila berlaku kekosongan, proses pelantikan Perdana Menteri akan berlaku serupa seperti selepas pilihan raya umum iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, boleh juga berlaku perubahan atau rombakan anggota kabinet tanpa melibatkan perubahan Perdana Menteri. Proses begini pernah berlaku dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, jika terdapat perubahan besar dalam perubahan sokongan politik, maka Perdana Menteri tetap boleh kekal memegang jawatan jika dia mendapat mengekalkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, walau pun dari parti yang sebelum ini di luar kerajaan.

Oleh yang demikian, jika berlaku perpecahan dalam gabungan parti pemerintah, Perdana Menteri tidak perlu terus meletakkan jawatan, sebaliknya perlu mendapatkan sokongan dari parti lain yang sedia memberikan sokongan kepada beliau bagi mencukupkan jumlah majoriti mudah iaitu seramai 112 orang ahli Dewan Rakyat daripada jumlah keseluruhan iaitu 222 orang.

Jika dia berjaya, dia perlu menyembah maklum sokongan berkenaan kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi membolehkan kerajaan dapat terus berfungsi.

Serentak itu juga, beliau boleh membuat menasihati Yang Di-Pertuan Agong bagi rombakan kabinet bagi melantik anggota kabinet dari kalangan Ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepada kerajaan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Jika berlaku demikian, penubuhan kerajaan begini adalah sebuah kerajaan yang sah dan berlandaskan prinsip Perlembagaan.

Perubahan sebegini adalah satu bentuk penyelesaian yang disediakan dalam sistem perlembagaan kita sebagai satu jalan keluar bagi merungkai kekusutan politik yang berlaku dalam negara.

Kita berharap agar perkembangan terkini dalam negara dapat meredakan beberapa ketidaktentuan politik yang berlaku dan meningkatkan kestabilan pemerintahan bagi memacu kemakmuran negara dalam menempuh cabaran mendatang.

MFY – HARAKAHDAILY 23/2/2020

#MalaysiaSejahtera

- Advertisement -