Nilai nyawa dan hukuman pembunuhan

- Advertisement -

MENJAGA nyawa termasuk dalam 5 perkara asas

Menjaga nyawa حفظ النفس merupakan tingkatan kedua selepas menjaga agama حفظ الدين dalam 5 perkara asas ضروريات الخمس. Tanpa nyawa yang dikurniakan oleh Allah S.W.T maka manusia tidak wujud.

Maka kurniaan nyawa merupakan nyawa besar yang disebut نعمة الإيجاد iaitu nikmat kewujudan kejadian. Dengan nikmat ini manusia dapat mengecapi nikmat duniawi yang lain seperti makan, minum, berpakaian, berpasangan, berhibur dan lain-lain.

Dengan nikmat hidup iaitu diberikan nyawa maka selayaknya manusia mengabdian diri kepada Allah dan mengEsakan-Nya sekalipun tanpa dinyatakan sesuatu ganjaran atas amalan secara jelas. Ini kerana semata-mata nyawa itu menjadikannya hamba yang mesti mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan yang menciptakannya.

Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِی خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.”

[Al-Baqarah: 21]

Haram membunuh nyawa sendiri

Membunuh diri merupakan satu dosa besar dan mendapat azab seksa yang dahsyat. Ini kerana nyawa adalah kurniaan dan ‘pinjaman’ ke atas manusia sebagaimana juga perbahasan diri anggota. Justeru tidak boleh diapa-apakan sama mencederakan, melukakan, menjual untuk capai keuntungan dan juga membunuhnya.

Orang yang membunuh diri sendiri diumpamakan ‘kekal’ dalam neraka dalam menunjukkan lamanya berada dihumban dalam neraka seolah-olahnya kekal. Malah bagaimana tindakan membunuh diri yang diperlakukan di dunia akan diulangi sepanjang dijatuhkan hukumannya di dalam neraka sebagai suatu bentuk azab dan kehinaan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Jundub R.A, Nabi S.A.W bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ‏

“Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba Ku telah menyegerakan untuk mati, Aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”

(Riwayat al-Bukhari)

Lagi sabda Baginda S.A.W:

منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا

“Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di Neraka Jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di Neraka Jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di Neraka Jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”

(Riwayat Muslim)

Haram membunuh nyawa orang lain tanpa hak

Begitu juga, Islam mengharamkan sebarang kemudaratan, kezaliman, penganiayaan dan pembunuhan ke atas orang lain tanpa hak. Ia termasuk dalam dosa besar malah dikenakan hukuman Qisas iaitu bunuh balas jika sah disabitkan pembunuhan dengan sengaja.

Apa jua alasan, namun dengan tindakan membunuh nyawa seseorang tanpa hak tetap diharamkan oleh Allah S.W.T. Orang Musyrikin Makkah terdahulu ada yang membunuh anak kerana ada kepercayaan karut iaitu ditimpa malang anaknya terdapat tanda sekian dan sekian mengikut kepercayaan karut mereka. Ada juga yang membunuh anak kerana bimbang kesempitan rezeki dalam kehidupan.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”

(al-Isra’: 33)

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَوۡلَـٰدَكُمۡ خَشۡیَةَ إِمۡلَـٰقࣲۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُهُمۡ وَإِیَّاكُمۡۚ إِنَّ قَتۡلَهُمۡ كَانَ خِطۡـࣰٔا كَبِیرࣰا

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

[Al-Isra’: 31]

Hukuman bunuh dengan hak pada syarak yang membenarkan

Dalam pensyariatan Islam terdapat peruntukan hukuman bunuh pada sesuatu kesalahan. Ia dapat dikategorikan kepada dua iaitu:

(a) Yang disebut oleh syarak secara ketetapan hukuman.

Ini sebagaimana hukuman Hudud dan Qisas pada hukuman rejam ke atas penzina yang telah bernikah, orang murtad yang tidak mahu lagi bertaubat serta mereka yang membunuh secara sengaja dan tidak dimaafkan oleh wali si mati.

Hadith dari Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ: الثَّيِّب الزَّانِي، والنَّفْس بِالنَّفْسِ، والتَّارِك لِدِينِهِ الْمُفَارِق لِلْجَمَاعَةِ

“Tidak halal darah seorang Muslim kecuali kerana salah satu di antara tiga perkara: orang yang telah kahwin berzina, jiwa dengan jiwa (bunuh balas), dan orang yang meninggalkan agamanya iaitu merosak jamaah”

Hukuman Qisas pada bunuh balas yang merupakan ke atas pembunuhan secara sengaja disebutkan di dalam al-Quran menerusi firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلۡقِصَاصُ فِی ٱلۡقَتۡلَىۖ ٱلۡحُرُّ بِٱلۡحُرِّ وَٱلۡعَبۡدُ بِٱلۡعَبۡدِ وَٱلۡأُنثَىٰ بِٱلۡأُنثَىٰۚ فَمَنۡ عُفِیَ لَهُۥ مِنۡ أَخِیهِ شَیۡءࣱ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَأَدَاۤءٌ إِلَیۡهِ بِإِحۡسَـٰنࣲۗ ذَ ٰ⁠لِكَ تَخۡفِیفࣱ مِّن رَّبِّكُمۡ وَرَحۡمَةࣱۗ فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ بَعۡدَ ذَ ٰ⁠لِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِیمࣱ

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman ‘Qisas’ (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

[Al-Baqarah: 178]

Hukuman Hudud ke atas jenayah hirabah jika pelaku jenayah melakukan pembunuhan sebagaimana firman Allah S.W.T:

إِنَّمَا جَزَ ٰ⁠ۤؤُا۟ ٱلَّذِینَ یُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَیَسۡعَوۡنَ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَسَادًا أَن یُقَتَّلُوۤا۟ أَوۡ یُصَلَّبُوۤا۟ أَوۡ تُقَطَّعَ أَیۡدِیهِمۡ وَأَرۡجُلُهُم مِّنۡ خِلَـٰفٍ أَوۡ یُنفَوۡا۟ مِنَ ٱلۡأَرۡضِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ لَهُمۡ خِزۡیࣱ فِی ٱلدُّنۡیَاۖ وَلَهُمۡ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِیمٌ

“Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”

[Al-Ma’idah: 33]

Begitu juga dibenarkan oleh syarak membunuh musuh yang memerangi sekiranya tercetus peperangan dan musuh enggan berdamai. Ia langkah mempertahan kebenaran, Islam dan nyawa yang tidak bersalah dari perbuatan atau serangan musuh itu sendiri.

Firman Allah S.W.T:

وَقَـٰتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِینَ

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”

[Al-Baqarah: 190]

(b) Ijtihad atas pertimbangan pemerintah berdasarkan hukuman yang bersesuaian dengan kesalahan jenayah yang besar.

Terdapat juga hukuman bunuh yang bukan ditetapkan oleh syarak namun ia berdasarkan pertimbangan semasa yang diijtihadkan oleh pemerintah atas faktor tertentu. Ia sebagai hukuman ke atas kesalahan yang besar yang jelas mengundang kemudaratan yang besar.

Sebagaimana hukuman perang yang dijatuhkan oleh Sayiduna Abu Bakr ke atas golongan yang enggan membayar zakat. Ini kerana sikap dan tindakan golongan tersebut boleh membawa kerosakan kepada negara dan kemudaratan kepada umat. Malah Sayiduna Abu Bakr menggunakan hujah atas tindakannya itu dengan kebenaran yang diberikan oleh Islam iaitu إلا بحق الاسلام dalam perbahasan hadith daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة , فإذا فعلوا ذلك عصموا مني دماءهم وأموالهم إلا بحق الإسلام وحسابهم على الله تعالى

“Aku diperintah untuk memerangi manusia sampai ia mengucapkan dua kalimah syahadah, menegakkan solat dan mengeluarkan zakat. Barang siapa telah mengucapkannya, maka ia telah memelihara harta dan jiwanya dari aku kecuali kerana alasan yang hak dan kelak perhitungannya terserah kepada Allah Ta’ala”.

Begitu juga zaman Sayiduna Ali bin Abu Talib dengan ijtihadnya mengisytiharkan perang ke atas kelompok Khawarij jika mereka memberontak secara berhadapan dengan mengangkat senjata.

Firman Allah S.W.T:

ۖ فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ ۚ
.
“.. Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah S.W.T… “

(al-Hujurat: 9)

Dalam isu hukuman ke atas mereka yang menghina dan mencerca Baginda S.A.W maka Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut:

“Siapa yang mencerca Nabi S.A.W tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.”

Pembunuhan tanpa hak dan hukumannya

Islam memperuntukkan hukuman ke atas setiap pembunuhan yang berlaku. Pembunuhan ialah berbuatan atau tindakan untuk mencabut roh (menyebabkan kematian) seseorang dengan pelbagai cara dan juga wasilahnya.

Pelaku iaitu si pembunuh dibahagikan kepada 3 kategori yang berbeza hukuman setiapnya iaitu:

(1) Sengaja قتل العمد
(2) Tidak sengaja قتل الخطأ
(3) Seumpama sengaja قتل شبه العمد

Bagi pembunuhan sengaja maka implikasi ke atas pembunuh ialah:

(i) Dosa besar.
(ii) Hukuman balas iaitu Qisas dibenarkan kepada wali mangsa yang dibunuh.
(iii) Diyat atau pampasan jika wali mangsa memaafkan dari hukuman bunuh balas.

Dalil dosa besar ialah firman Allah S.W.T:

وَمَن یَقۡتُلۡ مُؤۡمِنࣰا مُّتَعَمِّدࣰا فَجَزَاۤؤُهُۥ جَهَنَّمُ خَـٰلِدࣰا فِیهَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِ وَلَعَنَهُۥ وَأَعَدَّ لَهُۥ عَذَابًا عَظِیمࣰا

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

[An-Nisa’: 93]

Disifatkan dengan ‘kekal’ kerana lamanya tempoh diseksa seakan merasakan kekal. Ia sebagai balasan hukuman dan kehinaan.

Dalil dikenakan hukuman Qisas dan bayaran Diyat pampasan jika diberi pengampunan ialah firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلۡقِصَاصُ فِی ٱلۡقَتۡلَىۖ ٱلۡحُرُّ بِٱلۡحُرِّ وَٱلۡعَبۡدُ بِٱلۡعَبۡدِ وَٱلۡأُنثَىٰ بِٱلۡأُنثَىٰۚ فَمَنۡ عُفِیَ لَهُۥ مِنۡ أَخِیهِ شَیۡءࣱ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَأَدَاۤءٌ إِلَیۡهِ بِإِحۡسَـٰنࣲۗ ذَ ٰ⁠لِكَ تَخۡفِیفࣱ مِّن رَّبِّكُمۡ وَرَحۡمَةࣱۗ فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ بَعۡدَ ذَ ٰ⁠لِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِیمࣱ

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman ‘Qisas’ (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

[Al-Baqarah: 178]

Pembunuhan sengaja ini berlaku
apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
(1) Tertuduh seorang mukalaf iaitu dewasa dan waras.
(2) Orang yang dibunuh tidak halal darahnya.
(3) Alat, bahan atau cara yang digunakan kebiasaannya boleh membunuh.
(4) Pembunuhan dilakukan dengan niat membunuh.
(5) Kematian mangsa adalah akibat dari tindakan tertuduh.

Bagi pembunuhan-pembunuhan seumpama sengaja dan tidak sengaja implikasinya:

(i) tidak berdosa.
(ii) tidak dikenakan Qisas.
(iii) hukuman membayar Kaffarah dan Diyat.

Firman Allah S.W.T:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ أَن یَقۡتُلَ مُؤۡمِنًا إِلَّا خَطَـࣰٔاۚ وَمَن قَتَلَ مُؤۡمِنًا خَطَـࣰٔا فَتَحۡرِیرُ رَقَبَةࣲ مُّؤۡمِنَةࣲ وَدِیَةࣱ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰۤ أَهۡلِهِۦۤ إِلَّاۤ أَن یَصَّدَّقُوا۟ۚ فَإِن كَانَ مِن قَوۡمٍ عَدُوࣲّ لَّكُمۡ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَتَحۡرِیرُ رَقَبَةࣲ مُّؤۡمِنَةࣲۖ وَإِن كَانَ مِن قَوۡمِۭ بَیۡنَكُمۡ وَبَیۡنَهُم مِّیثَـٰقࣱ فَدِیَةࣱ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰۤ أَهۡلِهِۦ وَتَحۡرِیرُ رَقَبَةࣲ مُّؤۡمِنَةࣲۖ فَمَن لَّمۡ یَجِدۡ فَصِیَامُ شَهۡرَیۡنِ مُتَتَابِعَیۡنِ تَوۡبَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِیمًا حَكِیمࣰا

“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar ‘diah’ (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar ‘diah’ (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

[An-Nisa’: 92]

Nilaian nyawa yang dibunuh dengan kadar pampasan

(1) Bagi pembunuhan sengaja yang dimaafkan Qisas ke atasnya oleh wali mangsa yang dibunuh, maka pesalah dikenakan bayar pampasan bersifat diyat mughallazah iaitu:

Kadarnya ialah 100 ekor unta bunting
mengikut peringkat umur tertentu. Perincian kadarnya ialah seperti berikut:

(a) 30 ekor unta berusia 3 tahun;
(b) 30 ekor unta berusia 4 tahun; dan
(c) 40 ekor unta berusia 5 tahun yang bunting.

Terdapat juga pendapat ulamak lain perinciannya seperti berikut:

(a) 33 ekor unta berusia 3 tahun.
(b) 33 ekor unta berusia 4 tahun.
(c) 34 ekor unta yang bunting.

Diyat tersebut ditanggung sepenuhnya dari harta penjenayah dan perlu
dilunaskan segera. Ia dilaksanakan segera bagi mengangkat kesucian nyawa seseorang yang menjadi mangsa korban jenayah sekali gus mengubat kesedihan waris mangsa yang kehilangan saudaranya.

(2) Pembunuhan seumpama sengaja berlaku apa memenuhi syarat-syarat berikut:

(i) Perlakuan tertuduh menyebabkan kematian.
(ii) Alatan yang digunakan kebiasaannya tidak mendatangkan kematian.
(iii) Tertuduh tiada niat untuk membunuh, tetapi berniat untuk mencederakan.

Kadar pampasannya adalah qiyat mughallazah iaitu jenisnya sama sebagaimana qiyat ke atas pembunuhan sengaja yang dimaafkan. Cuma dalam pembunuhan seumpama sengaja dibolehkan:

(i) bayar ansuran.
(ii) boleh ditanggung bersama oleh ahli keluarga pesalah.

(3) Pembunuhan tidak sengaja ialah perbuatan yang menyebabkan kematian tetapi tidak dilakukan dengan niat membunuh. Pembunuhan seperti ini kebiasaannya berlaku ketika aktiviti memburu, pemburu tersilap menembak rakannya atau orang lain yang disangka beruang atau haiwan buruan.

Hukumannya kenakan bayaran pampasan bersifat diyat mukhaffafah iaitu kadar perinciannya:

(a) 20 ekor unta bintu makhad berusia 3 tahun;
(b) 20 ekor unta bintu labun berusia 3 tahun;
(c) 20 ekor unta ibnu labun;
(d) 20 ekor hiqqah berusia 3 tahun
(e) 20 ekor jadh’ah berusia 4 tahun.

Cara bayarannya boleh dibayar secara ansuran dan kaum keluarga boleh menanggungnya bersama.

Nilaian kadar setiap diyat mughallazah dan mukhaffafah ialah berdasarkan keputusan mahkamah mengikut nilai semasa yang dibuat oleh juru nilai bertauliah bagi memastikan nilai semasa.

Nyawa janin yang dibunuh turut diberi kadar pampasan

Dalam Islam setiap nyawa mempunyai nilai tersendiri dan penghormatannya. Sehinggakan terdapat perbahasan mengenai nyawa janin yang dibunuh.

Pembunuhan janin dikira sabit berlaku berdasarkan beberapa keadaan seperti berikut:

(1) Janin benar-benar gugur dan berpisah daripada kandungan ibu. Sekiranya tidak, individu tersebut dikira tidak bersalah dan tidak dikenakan sebarang hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

(2) Janin mesti berpisah daripada ibunya dalam keadaan mati. Sekiranya masih hidup atau hidup sebentar dan kemudiannya mati, maka terdapat perbincangan lanjut dalam kalangan ulamak pelbagai mazhab.

(3) Sesuatu perlakuan yang memberi kesan secara langsung kepada janin seperti memukul, meracun atau menggunakan apa-apa sahaja alatan moden dengan tujuan membunuh janin tanpa sebab kukuh yang dibenarkan oleh syarak.

Namun segala perlakuan kecil yang tidak memudaratkan janin tidak termasuk dalam kategori ini seperti mencubit dan sebagainya.

Pembayaran pampasan ini dinamakan diyat janin atau al-ghurrah. Ia berlandaskan sebuah hadith dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Suatu ketika dua orang wanita dalam kalangan Bani Huzail bergaduh dan salah seorang antara mereka melontar batu ke arah seorang lagi sehingga menyebabkan wanita tersebut dan kandungannya terbunuh. Mereka mengadu kepada Rasulullah dan Baginda memutuskan diyat bagi janin tersebut ialah al-ghurrah iaitu membebaskan seorang hamba lelaki atau wanita.”

Dalam penetapan al-ghurrah, para ulamak sepakat jika janin berpisah dari ibunya dalam keadaan mati disebabkan perbuatan atasnya sedangkan ibunya masih hidup. Ini jelas kematian janin atas perbuatan jenayah membunuh.

Namun jika matinya janin dalam keadaan ibunya juga mati maka ulamak berselisih pandangan:

(1) Mazhab al-Syafi’i dan Hanabilah tetap menghukumkan wajib al-ghurrah kerana matinya janin atas perbuatan bunuh atasnya.

(2) Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah mengatakan tidak wajib al-ghurrah kerana janin tersebut mati kerana kematian ibunya.

Pengajaran

Dalam Islam setiap nyawa apa jua peringkat mempunyai nilai yang besar sekalipun nyawa bagi seorang janin.

Dalam hukuman yang dikenakan sama ada Qisas, Diyat dan al-Ghurrah boleh dilihat pada beberapa pengajaran:

(1) Memberi pembelaan kepada mangsa dan keluarga mereka.
(2) Memberhentikan jenayah yang berlaku.
(3) Menjadi pengajaran agar tidak ditiru oleh-oleh pihak lain.
(4) Memberi penginsafan pada pelaku bahawa apa yang dilakukannya tersebut adalah salah.

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/2/2020

- Advertisement -