Pesuruhjaya, ADUN PAS Perlis giat kempen di Bagan Pinang

- Advertisement -

PORT DICKSON: Pesuruhjaya PAS Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali bersama semua ADUN PAS Perlis terus menggalas amanah membantu kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di DUN Bagan Pinang.

Walaupun berusia 87 tahun, Tuan Guru Ahmad tetap turun bersama jentera dengan semangat perjuangan yang tinggi serta hasrat untuk terus berbakti sehingga ke akhir hayat demi perjuangan Islam.

- Advertisement -

Sepanjang berada di Bagan Pinang, setiap hari dimulakan dengan solat Subuh berjemaah yang diikuti taujihad khas disampaikan oleh beliau sebagai suntikan rohani kepada seluruh petugas sebelum memulakan gerak kerja kempen.

Kehadiran beliau, walaupun dengan kudrat yang ada, disifatkan menjadi suntikan motivasi kepada seluruh jentera untuk terus bekerja dan berjuang memastikan kemenangan PN.

Kempen yang dijalankan melibatkan aktiviti ceramah, ziarah, bertemu masyarakat serta menyantuni pengundi di sekitar DUN Bagan Pinang iaitu DUN yang pernah dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15.

ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan pula berkata, seluruh rakyat diminta terus mendoakan kejayaan jentera yang sedang bertugas.

“Doakan kami dan doakan PN berjaya, insya-Allah. Warga DUN Bagan Pinang terutama pengundi awal, jangan lupa undi Calon Nombor 2 PN, Ustaz Fatah Zakaria,” katanya di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan berkesempatan bersama jentera menjalankan aktiviti ziarah bagi bertanya khabar dan bertukar pandangan dengan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, nama Ustaz Fatah sudah dikenali ramai kerana perwatakannya yang mesra dan bersahaja dengan semua lapisan masyarakat yang ada dalam DUN Bagan Pinang,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, jentera PAS Perlis terus istiqamah membantu kempen bagi memastikan kemenangan PN.

“Mesej (kita) jelas iaitu tumbangkan Pakatan Harapan dan pastikan gelombang biru memimpin Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026,” ujar beliau.

Menurutnya, kehadiran Tuan Guru Ahmad Ali bersama seluruh ADUN PAS Perlis menjadi pembakar semangat kepada petugas yang bertungkus-lumus di lapangan.

“Semangat, keikhlasan dan kesatuan inilah yang menjadi kekuatan perjuangan.

“Semoga setiap langkah, pengorbanan dan usaha yang dicurahkan diberkati Allah SWT serta dikurniakan kemenangan yang membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Turut bersama dalam misi kempen ialah ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli dan ADUN Kayang, Asrul Aimran Abdul Jalil.

Sepanjang tempoh kempen, ADUN Simpang Ampat, Razali Saad serta ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad turut dijadualkan hadir bagi memperkukuhkan gerak kerja jentera PAS Perlis di DUN Bagan Pinang.

Jentera PAS Perlis turut berharap calon PN, Ustaz Abdul Fatah Zakaria yang bertanding menggunakan nombor 2, terus diberikan kepercayaan oleh pengundi untuk mewakili DUN Bagan Pinang sekali lagi.

Kehadiran rombongan PAS Perlis diketuai Pesuruhjaya PAS Perlis, Tuan Guru Ustaz Ahmad Ali bersama semua ADUN PAS Perlis sebagai tanda komitmen berterusan membantu jentera Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya yang bakal menentukan pentadbiran negeri itu. -HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -