
REMBAU: Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sejak 1990 terus dipertahankan sebagai asas pemerintahan berpaksikan syariah, tanpa mengabaikan hak serta kebajikan masyarakat bukan Islam.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Muhammad Asri Mat Daud berkata, MBI bukan sekadar slogan politik, sebaliknya menjadi dasar yang membentuk keseluruhan pentadbiran negeri meliputi aspek sosial, ekonomi dan pentadbiran.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam Podcast BUGHak Paroi di sini.
“Dasar kerajaan negeri ialah Islam. MBI bukan sekadar slogan, tetapi menjadi dasar yang membentuk seluruh pentadbiran kerajaan.
“Semua aspek pentadbiran sama ada sosial, ekonomi mahupun perundangan berpaksikan syariah Islam,” katanya.
Menurut beliau, walaupun Kelantan mempunyai masyarakat berbilang kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli, pendekatan Islam oleh kerajaan negeri berfungsi sebagai payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama serta kaum.
Beliau berkata, pendekatan itu diasaskan Allahyarham Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi konsep ‘Islam Boleh’, sekali gus membuka ruang bagi masyarakat bukan Islam memahami bahawa Islam membawa keadilan kepada semua.
Hasil pendekatan tersebut, masyarakat bukan Islam di Kelantan dapat menerima pelbagai dasar kerajaan termasuk pembentangan Rang Undang Undang Kanun Jenayah Syariah kerana memahami pelaksanaannya tidak menindas hak mereka, katanya.
“Islam yang dibawa di Kelantan bukan hanya untuk orang Islam, tetapi memayungi seluruh rakyat. Sebab itu masyarakat bukan Islam di Kelantan tidak melihat Islam sebagai ancaman, sebaliknya agama yang membawa keadilan dan keharmonian,” ujarnya.
Beliau berkata, dasar MBI diteruskan oleh setiap kepimpinan Menteri Besar dengan penambahbaikan dari segi pelaksanaan tanpa mengubah asas pentadbiran Islam.
Ketika pentadbiran Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, konsep ‘Merakyat Membangun Bersama Islam’ diperkenalkan bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut, tambahnya.
Menurutnya lagi, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud, kerajaan memperkenalkan konsep Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) bagi memastikan nilai Islam difahami dalam pentadbiran kerajaan hingga ke peringkat akar umbi.
Mengulas isu kononnya Kelantan menolak hiburan, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak pernah mengharamkan aktiviti itu, sebaliknya menetapkan garis panduan yang mematuhi syariah.
Setiap penganjuran hiburan perlu mematuhi Enakmen Hiburan Negeri Kelantan termasuk menyediakan kemudahan solat, mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita yang bukan mahram serta memastikan kandungan persembahan tidak bercanggah dengan nilai Islam, ujarnya.
“Hiburan dibenarkan, tetapi mesti patuh syariah. Bermain e-sukan juga dibenarkan, namun waktu solat perlu dijaga, adab dipelihara dan tidak sehingga melalaikan tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menegaskan institusi masjid perlu terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan masyarakat dan bukan sekadar tempat menunaikan solat.
Pelbagai program melibatkan golongan belia, ibu bapa dan komuniti perlu dipergiat di masjid bagi membina institusi keluarga yang harmoni serta mendekatkan masyarakat kepada agama, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pengalaman pentadbiran Kelantan membuktikan keharmonian antara kaum dapat dipelihara apabila Islam dijadikan asas pemerintahan.
“Masyarakat bukan Islam tetap menikmati hak mereka, bebas mengamalkan budaya dan agama masing-masing serta hidup berjiran dengan masyarakat Melayu Islam dalam suasana harmoni.
“Inilah model pentadbiran Islam yang kita harapkan dapat difahami oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya. -HARAKAHDAILY 31/7/2026




















