‘Kalau anda salah pangkah, nahas dan sendu bagi anda’

Banyak peniaga daripada pelanggan di Pasar Ampangan

- Advertisement -

SEREMBAN: Peniaga ayam, Suhardi Abd Hamid, 41, berharap wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya akan datang dapat sentiasa turun padang melihat sendiri keadaan peniaga serta masalah dihadapi mereka.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan, keadaan perniagaan di kawasan Pasar Ampangan kini semakin suram apabila jumlah pelanggan yang datang semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

“Pilih (undi) yang terbaik. Anda jangan salah pangkah. Jangan salah pangkah kali ini. Kalau anda salah pangkah, nahas bagi anda.

“Anda akan sendu selepas ini jika anda salah pangkah,” ujar beliau kepada HarakahDaily di Pasar Ampangan, di sini baru-baru ini.

Suhardi memaklumkan, beliau mengambil berat mengenai masa depan kawasan itu kerana melihat keadaan peniaga serta pelanggan yang semakin terjejas.

“Saya mengambil berat tentang pelanggan-pelanggan kami yang sekarang berniaga terlalu merudum. Kalau tengok keadaan kami, banyak termenung, bermain, dah tak macam dulu lagi. Tak aktif.

“Parang kami pun tak berasah, sendu. Keadaan yang amat teruklah. Kritikal. Bos saya pun dalam keadaan tak tahu macam mana nak berniaga, ‘down’” jelasnya.

Harap ADUN turun padang

Mengulas masalah utama dihadapi peniaga di kawasan itu, Suhardi menyifatkan kekurangan pelanggan serta ketiadaan wakil yang datang melihat keadaan perniagaan sebagai perkara membimbangkan.

“Masalah kami hadapi ialah tentang pelanggan datang sinilah. Tak ada wakil yang datang untuk majukan balik tempat-tempat macam ni. Yang nampak sendu bagi kami.

“Lebih hebat pasar lama. Minta ADUN yang (dipilih nanti) boleh turun padang. Bila ada pilihan raya baru nak datang turun padang, tapi bila dah habis pilihan raya semua lenyap,” tempelaknya.

Beliau turut mengharapkan pemimpin yang dipilih dapat melihat sendiri keadaan pasar tersebut di mana disifatkannya tidak lagi seperti dahulu.

“Minta mereka turun tengok keadaan pasar kami yang tak seperti dulu lagi, dah sendu. Perniagaan kami pun dah boleh nampak, ayam-ayam kami yang dijual pun dah berkurangan sangat,” kesalnya.

Menurut Suhardi, ciri pemimpin yang diharapkan ialah individu yang sentiasa mendekati rakyat dan memahami keadaan peniaga.

“Dah tentulah yang selalu turun padang, tengok keadaan kami, macam mana perniagaan kami sekarang. Orang kata terlalu berkurangan, terlalu sangat berkurangan.

“Dalam kawasan ini sekarang dah nampak lengang, terlalu lengang. Banyak peniaga daripada pelanggan sebenarnya. Mohon datanglah turun padang tengok,” serunya.

Kos sara hidup semakin parah

Mengulas keadaan semasa terutama berkaitan kos sara hidup, ekonomi dan kemudahan rakyat, Suhardi menyifatkan keadaan ketika ini semakin membebankan.

“Parah bang, parah sangat. Terlalu parah. Lagi daripada segi minyak naik, daripada segi nak beli barang (minyak) pun dah kena pakai IC (kad pengenalan). Tak tahulah bang nak cakap, memang sara hidup kita memang sakit,” kesalnya lagi.

Beliau mengharapkan perubahan dapat dilakukan selepas pilihan raya terutama dalam membantu rakyat serta memperkasakan semula kawasan pasar.

“Minta dipertengahkanlah pasar-pasar. Lepas tu tolong rakyat kita. Saya tengok rakyat kita ditindas sekarang ini.

“Masih tengok dekat luar tu masih ada penjual-penjual pendatang asing yang berleluasa, dan kami yang berlesen ini susah untuk berlawan meniaga (dengan pendatang asing tersebut),” jelasnya.

Sedia dengar masalah rakyat

Suhardi menegaskan, perkara penting yang perlu diberi perhatian pemimpin ialah sentiasa melawat kawasan berkenaan dan bertanya khabar mengenai keadaan semasa.

“(Wakil rakyat yang dipilih nanti) Selalu melawatlah kami, datang tanyalah khabar macam mana keadaan (pasar) sekarang ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi perubahan paling besar yang dilihat sepanjang menetap di kawasan itu, khususnya membabitkan pembangunan bangunan pasar berkenaan.

“Bangunan ini (Pasar Ampangan) memang besar sangat, tapi pelanggan entah ke mana. Kosong, ‘zero’. Bangunan saja besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -