
JELEBU: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa, tiada lagi perkara yang boleh diharapkan daripada Pakatan Harapan (PH).
Beliau mengaitkan perkara tersebut dengan janji PH sebelum ini berkaitan pelaksanaan tol percuma yang masih belum ditunaikan sehingga kini.
Beliau menjelaskan, setiap kali rakyat membayar tol, mereka perlu mengingati janji PH sebelum ini untuk memberikan kemudahan tol percuma sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya.
“Setiap kali tuan-tuan bayar tol, maka tuan-tuan bayangkan itulah wajah Lim Guan Eng yang pernah menjanjikan supaya tol percuma sekiranya Pakatan Harapan menang,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian dalam Ceramah PRN Negeri Sembilan, di Command Centre PDM Simpang Durian di sini, malam tadi.
Menurut Ahmad Fadhli, PH tidak seharusnya memberikan alasan bahawa janji tol percuma itu adalah perkara lama kerana manifesto terbaharu turut menyentuh usaha mengurangkan kadar tol.
“Bila kita sebut tentang tol percuma, mereka akan kata, ‘Oh, ini janji 2018’, ini bahasanya.
“Bila kita kata tol percuma, dia kata, ‘Ini janji 2018. Ini janji lama bukan janji baru. Ini janji dulu bukan janji baru’,” tempelaknya.
Beliau mengingatkan, manifesto ‘Kita Boleh’ yang diterbitkan ketika PRU-15 turut menyatakan Kerajaan PH akan berunding dengan pemegang konsesi lebuh raya.
Katanya, rundingan itu bertujuan mengurangkan kadar tol secara berperingkat sehingga akhirnya mencapai hasrat melaksanakan tol percuma seperti dijanjikan.
“Adakah kerajaan sedang berbincang dengan pemegang konsesi lebuh raya untuk menurunkan kadar tol secara berperingkat sehingga akhirnya mencapai hasrat tol percuma?
“Dan kalau kerajaan tidak ada hasrat untuk berbincang, adakah boleh kita labelkan kerajaan ini sebagai kerajaan ‘kencing’? Tol percuma mereka tak buat. Jadi apa yang kita nak banggakan?” soal beliau.
Dalam pada itu, beliau mempertikaikan dakwaan PH sebagai kerajaan berprestasi tinggi dengan meminta rakyat menilai sendiri pencapaian gabungan berkenaan.
Ahmad Fadhli turut menyoroti tindakan seorang pemimpin PH yang dilihat turun berkempen dengan membantu menghidangkan makanan kepada rakyat.
“Saya nampak ada gambar Anthony Loke (Siew Fook) datang berkempen ambil (hidang) bihun, letak dalam pinggan (rakyat). Allah, bagusnya, boleh jadi menantu.
“Dalam masa berkempen dia ambil (hidang) bihun letak dalam pinggan (rakyat), selepas berkempen dia ambil duit kita untuk dimasukkan dalam poket-poket mereka?” soalnya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya merekodkan sejarah menerusi pilihan yang dibuat dalam pilihan raya akan datang.
Ahmad Fadhli menegaskan, usaha penyatuan Melayu tidak pernah menggugat masyarakat bukan-Melayu dan bukan-Islam kerana matlamatnya adalah membina kesepaduan.
Menurutnya, apabila ekonomi jatuh dan kos sara hidup meningkat, kesannya turut menjejaskan perniagaan yang dijalankan masyarakat bukan-Islam.
“Kita duduk bersama, duduk bersatu dan kita ajak tuan-tuan yang berada di sini untuk kita berpadu membentuk satu kesepaduan untuk memastikan Pakatan Harapan ditolak secara total di bumi Chennah ini, insya-Allah,” serunya.
Ahmad Fadhli turut menyeru penyokong PN supaya turun mengundi, bekerja serta membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya berkenaan.
“Saya nak menyeru terutama kepada penyokong-penyokong PERIKATAN NASIONAL PRN 2023, kita dapat jumlah undi yang signifikan di sini.
“Ahli-ahli PERIKATAN NASIONAL, khususnya ahli-ahli PAS, keluarlah mengundi, bekerjalah, keluarlah bantu calon daripada Barisan Nasional sebagaimana kita bertanding di sini,” serunya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026













