
PORT DICKSON: Reformasi tadbir urus Tabung Haji perlu dilaksanakan sepenuhnya dan bukan sekadar pengumuman, gesa Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menegaskan, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu diumumkan kepada rakyat, namun saranan yang dikemukakan mesti disusuli tindakan.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan mengapa tiada tindakan diambil walaupun laporan RCI berkenaan sudah siap hampir empat tahun lalu.
“Dapatan rakyat nak tahu. Betul, boleh umum, tetapi saranan RCI mesti ada tindakan. Kenapa kerajaan tak bertindak? Kenapa dibiar sampai sekarang empat tahun tak ada tindakan?” soalnya.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Mega Biru-kan Port Dickson di Dewan DJ The Grandis Wedding & Event Hall, Batu 8, Teluk Kemang di sini malam tadi.
Beliau menyatakan demikian ketika mengulas keputusan Kabinet untuk membawa laporan RCI Tabung Haji ke Parlimen pada persidangan khas yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Beliau mengalu-alukan keputusan berkenaan, sambil mengingatkan cadangan penubuhan RCI itu sebenarnya telah dibuat ketika pentadbiran PERIKATAN NASIONAL (PN) pada 14 Julai 2021, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Jelasnya, pengumuman penubuhan RCI berkenaan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 15 Julai 2021, sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada waktu tersebut.
“Sebenarnya RCI ini dah siap lama. Hampir empat tahun dah siap. Kita pun menunggu bila nak dibentang pada rakyat, bila nak dibawa ke Parlimen, kenapa dia tak dibawa?
“Tiba-tiba dekat pilihan raya Negeri Sembilan dia dibentangkan. Secara simbolik kita boleh lihat kenapa waktu ini dia bentang,” tempelak Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim menyatakan, pihaknya akan bersama mana-mana pihak berasaskan prinsip yang digariskan Allah SWT.
Prinsip itu terangnya, adalah saling membantu dalam perkara kebaikan dan takwa serta tidak membantu perkara yang membawa kepada kesalahan, dosa dan permusuhan.
Beliau menghuraikan prinsip itu sebagai panduan kepada umat Islam khususnya, selain nilai sejagat yang menolak sokongan terhadap kemungkaran, kebatilan dan penyelewengan.
Jangan ulangi episod Batu Puteh
Menurut Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang itu, amanah umat Islam kepada Tabung Haji adalah sangat besar.
Beliau berpandangan, Tabung Haji bukan sekadar institusi kewangan, sebaliknya merupakan institusi amanah umat Islam yang melibatkan pengurusan dana wang rakyat serta umat Islam.
“Kebenaran perlu dizahirkan, namun keadilan juga mesti ditegakkan. Perkara-perkara yang salah tak boleh ditutup kerana dia melibatkan soal keyakinan kepada institusi agama,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan supaya isu RCI Tabung Haji tidak mengulangi perkara telah berlaku terhadap RCI Batu Puteh yang turut dibawa ke Parlimen sebelum ini.
Beliau melahirkan rasa dukacita apabila terdapat muka surat laporan RCI Batu Puteh yang kosong dan dipadam, selain mempersoalkan kewujudan muka surat yang hilang.
“Apa yang mendukacitakan kita RCI Batu Puteh berpuluh muka surat kosong dipadam. Kenapa ada muka surat yang hilang? Kalau Parlimen pun ada elemen tutup sesuatu perkara kerana ada objektif tertentu dibawa.
“Kita bimbang kalau-kalau objektif politik, kepentingan politik mengatasi hasrat untuk melihat dan membaik pulih semula RCI Tabung Haji ni khususnya,” bimbangnya.
Beliau turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dimanipulasi dalam keadaan rakyat masih belum mendapat gambaran jelas kerana ia boleh mencetuskan polemik lain.
“Jangan kita ambil kesempatan dalam situasi rakyat yang tidak jelas, akhirnya dia menjadi polemik lain. Boleh jadi kerana nak tutup. Ada beberapa perkara lain sebelum ini kita tengok pelaburan dalam di Indonesia yang juga.
“Apakah ini untuk menutup pelaburan yang dibuat di Indonesia yang dianggap kita kena ‘scam’ atas pelaburan tersebut. Sebab tu bagi kita, kita tegaskan bahawa prinsipnya reformasi tadbir urus ni mesti dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau menegaskan PAS akan kekal berpegang kepada prinsip untuk tidak berkompromi dengan perkara yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan.
Tuan Ibrahim turut menegaskan, institusi Tabung Haji mempunyai nilai besar kepada masyarakat kerana orang kampung menyimpan wang bertahun-tahun dengan satu tujuan.
Beliau menekankan, sebarang tuduhan terhadap mana-mana pihak tidak sepatutnya dibuat tanpa bukti, sebaliknya perlu dibawa ke mahkamah dan dibicarakan dengan penuh keadilan. – HARAKAHDAILY 31/7/2026












