
JELEBU: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai tindakan politik semata-mata.
Bagaimanapun beliau menegaskan, tindakan mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan laporan RCI Tabung Haji pada 11 Ogos ini tidak menjadi masalah kepada pihaknya.
“Nak buat Sidang Khas nak bincang apa lagi? Kamu dah kata 75 peratus syor kamu laksana, nak bincang apa lagi? Tak apalah kita tak ada masalah nak buat sidang khas kita boleh,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian dalam Ceramah PRN Negeri Sembilan, di Command Centre PDM Simpang Durian di sini, malam tadi.
Ahmad Fadhli menegaskan, jika benar terdapat pihak yang melakukan kesalahan seperti disebut dalam laporan RCI, tindakan sewajarnya perlu diambil melalui proses undang-undang.
“Kalau kamu kata ada orang sakau dalam RCI itu, ada ke tidak pihak yang dikatakan sakau itu? Mana yang kamu kata sakau? Sakau, sakau tu mana?
“Sepatutnya kalau betul ada pihak yang kamu kata sakau, sakau, sakau, (maka) kamu dakwa, kamu tangkap, kamu caj di mahkamah.
“Tapi ia hanya menjadi senjata politik semata-mata. Tiga tahun kamu peram laporan ini semata-mata kerana politik,” tempelaknya.
PAS ambil jalan sederhana berbanding PH
Beliau turut mengimbas mengenai pengeluaran deposit Tabung Haji berjumlah RM6 bilion dalam tempoh empat bulan pada 2017 dan 2018.
Ahmad Fadhli menyatakan, perkara itu berlaku ketika Pakatan Harapan secara konsisten menyerang institusi Tabung Haji sehingga menjejaskan keyakinan pendeposit.
“Saya menghormati syor daripada RCI, daripada laporan Suruhanjaya Diraja. Ada kelemahan kita baiki, ada isu kita baiki. Tidak ada manusia yang sempurna. Betul.
“Tetapi untuk menyatakan bahawa Tabung Haji ini perlu dilumpuhkan, ini bukan merupakan cadangan, dan ini bukan merupakan pemikiran kita.
“Sebab itu PAS mengambil jalan pendekatan yang sederhana. Kita tidak menyerang institusi Tabung Haji.
“Yang menyerangnya ialah Pakatan Harapan yang menyebabkan Tabung Haji musnah imej dan namanya ialah Pakatan Harapan,” tempelaknya lagi.
Beliau turut menyifatkan pendedahan laporan RCI Tabung Haji sebagai ‘the last bullet’ atau peluru terakhir yang digunakan untuk ditujukan kepada Barisan Nasional.
“Akhirnya hari ini dibuat pendedahan. Dan percayalah tuan sekalian, pendedahan ini dibuat ialah merupakan peluru yang terakhir.
“(Ia) untuk mereka tujukan kepada Barisan Nasional. Adakah ia akan berkesan? Berkesan ke tidak?
“Bagi kita dedahlah laporan, buatlah pendedahan, buatlah laporan, buatlah. Yang penting hari Sabtu ini kita nyahkan Pakatan Harapan daripada Negeri Sembilan,” serunya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026













