Pengundi tak sabar untuk jatuhkan PH pada PRN N9

- Advertisement -

JEMPOL: Kesungguhan untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, bukan sahaja ditunjukkan oleh petugas serta pengundi PERIKATAN NASIONAL (PN) sebaliknya disambut penuh semangat oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh petugas serta pengundi Umno-BN khususnya terhadap calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa amat memberangsangkan.

“Saya agak terkejut dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Umno ketika saya hadir berkempen di FELDA Serting Hilir, baru-baru ini. Mereka sangat memberi kerjasama,” jelas beliau.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah itu berkata, mereka dilihat bersungguh-sungguh membantunya, menjadi penunjuk arah ke rumah-rumah sasaran.

Malah ujarnya, setiap rumah yang dihadiri beliau di mana kebanyakannya pengundi tegar BN, memberi jaminan akan memberi undi kepada calon PN untuk menjatuhkan serta menguburkan PH dan rakan sekutunya DAP.

“Setiap tempat yang saya pergi, mereka (petugas Umno) akan iring beramai-ramai dengan menunggang motosikal. Hari pertama orang lain, hari kedua orang lain tetapi mereka datang beramai-ramai,” ceritanya lagi.

Sambutan dan kerjasama demikian tegasnya, agak berbeza ketika Muafakat Nasional (MN) dahulu, malah pada PRN Negeri Sembilan ini, mereka dilihat lebih bersungguh-sungguh dan bersemangat.

“Insya-Allah, kalau begini kerjasama BN dan PN, saya yakin PH dapat ditumpaskan dan Negeri Sembilan bakal diterajui pemerintah yang baharu 1 Ogos ini,” kata EXCO Kerajaan Negeri Kedah itu lagi.

Sementara itu, kesungguhan untuk menjatuhkan PH dan rakan sekutunya DAP, juga mendapat respon positif dari para pengundi dari sekitar DUN berkenaan.

Kata Dato’ Ashah lagi, kebanyakan pengundi yang beliau temui ketika hadir menyaksikan pertandingan bola sepak dan bola jaring persahabatan di Padang Awam, FELDA Raja Alias, berazam akan kekalkan Ustaz Fairuz di DUN Serting. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -