Undang-undang keganasan rumah tangga perlu diperkasa

Tingkat perlindungan wanita

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Undang-undang berkaitan keganasan rumah tangga perlu terus diperkasa bagi memastikan mangsa, khususnya wanita dan kanak-kanak, mendapat perlindungan lebih berkesan serta berani tampil mendapatkan bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Sinergi Wanita Bangkit di sini, semalam.

- Advertisement -

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang yang tegas perlu disertai dengan sokongan berterusan agensi berkaitan serta masyarakat bagi membantu mangsa keluar daripada kitaran penderaan.

Tambahnya, ramai mangsa masih takut untuk membuat laporan kerana bimbang kehilangan sumber pendapatan keluarga atau berdepan tekanan emosi selepas pelaku diambil tindakan.

“Undang-undang memang perlu diperkasa, namun dalam masa sama kita perlu membantu mereka untuk pulih dari sudut dalaman dan emosi.

“Ada isteri yang menjadi mangsa penderaan tetapi masih takut membuat laporan kerana bimbang suami ditangkap, dipenjarakan atau dihantar ke pusat pemulihan sehingga menyebabkan keluarga kehilangan punca pendapatan,” katanya.

Program Sinergi Wanita Bangkit yang bertemakan ‘Tinggalkan Luka, Cipta Bahagia’ itu diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.

Menurutnya yang juga ADUN Ajil, program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu bertujuan meningkatkan kesedaran wanita mengenai hak serta saluran bantuan sekiranya berdepan keganasan atau penderaan.

Katanya, keganasan rumah tangga tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada kejadian lebih serius termasuk kecederaan parah, pembunuhan atau cubaan membunuh diri.

“Kadangkala mangsa memilih untuk berdiam diri kerana pelaku adalah individu yang dikenali seperti suami atau ahli keluarga sendiri.

“Sebab itu kita mahu wanita bangkit mempertahankan diri dan keluarga dengan mendapatkan bantuan lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Maliaman berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 186 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Terengganu setakat ini.

Beliau berkata, usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat perlu dipergiatkan bagi memastikan lebih banyak kes dapat dikesan serta ditangani pada peringkat awal.

“Program seperti ini memberi pendedahan mengenai saluran aduan yang boleh dihubungi termasuk PDRM, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kaunselor serta pihak yang boleh membantu mangsa.

“Kita mahu masyarakat lebih peka dan segera melaporkan sekiranya berlaku kejadian keganasan rumah tangga di persekitaran mereka,” katanya.

Mengulas faktor yang menyumbang kepada keganasan rumah tangga, beliau berkata, ia lazimnya berpunca daripada tekanan ekonomi, penyalahgunaan dadah, konflik keluarga, campur tangan pihak ketiga serta masalah komunikasi antara pasangan.

“Berdasarkan kajian, kes keganasan rumah tangga yang berpunca daripada penagihan dadah tidak begitu tinggi. Sebaliknya, kebanyakan kes lebih banyak dipengaruhi oleh faktor ekonomi, masalah keluarga serta ketidakserasian dan kurang persefahaman antara pasangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -