
KUALA LUMPUR: Malaysia telah digemparkan dengan beberapa kes kehilangan individu baru-baru ini, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai keselamatan diri masing-masing.
Timbalan Sinergi Gerakan Mahasiswa (SIGMA) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu, Zinnirah Muhammad Al-Fateh berkata, wanita adalah permata berharga yang perlu dijaga dalam dunia yang kini semakin mencabar.
“Utamakan kasih sayang pada diri dengan setiap langkah yang penuh kesedaran.
“Selain itu, jangan abaikan naluri hati dan pastikan dikelilingi orang yang dipercayai. Seterusnya, berani berkata tidak dan jangan biarkan sesiapa mengambil kesempatan.
“Di samping itu, keselamatan adalah tanggungjawab utama terutama dalam situasi berisiko. Oleh yang demikian, wanita memiliki kekuatan luar biasa, tetapi tidak salah mencari perlindungan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Justeru, Zinnirah berkata, golongan wanita perlu mengutamakan keselamatan seperti mengelakkan berada di tempat sunyi dan memaklumkan keberadaan diri kepada orang terdekat, serta berdoa agar Allah SWT sentiasa melindungi setiap langkah.
“Antara langkah berjaga-jaga bagi mahasiswi yang berdepan detik cemas dan bahaya adalah dengan berpura-pura bercakap di telefon dengan memaklumkan tempat anda berada.
“Seterusnya, catat nombor kenderaan awam yang kita naiki atau kenderaan yang mencurigakan. Di samping itu, jika berada di dalam lif, tekan semua butang aras di dalam lif.
“Akhir sekali, bawa bahan-bahan yang boleh menarik perhatian orang sekeliling seperti penggera ke mana-mana sahaja,” katanya.
Terdahulu, Nuraina Humaira Rosli, 10 dilaporkan hilang sejak 16 Ogos ditemukan meninggal dunia di kawasan berpaya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak pada 17 Ogos lalu dan keputusan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada bahagian leher.
Isnin lalu, seorang remaja lelaki berumur 17 tahun direman selama seminggu hingga 25 Ogos ini bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – HARAKAHDAILY 27/8/2024




















