
KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia (JAM) merupakan salah satu jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berfungsi sebagai sebuah pasukan kebajikan sukarela beruniform yang dianggotai oleh pemuda dan ahli PAS.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, penubuhan jabatan ini bermula pada 1991 yang kini, 33 tahun JAM telah menabur bakti dan beramal kerana Allah SWT.
“Jabatan ini sentiasa menjadi fenomena. Di mana ada bencana di situ ada anggota JAM yang menyinsing lengan membantu rakyat. Sampai orang kata, bencana dan JAM berpisah tiada.
“Itulah JAM yang anggotanya terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu ulamak, profesional, ada yang masih belajar dan tidak kurang juga ramai penjawat awam di segenap lapisan usia.
“Apabila baju JAM dipakai dan lencana di dada kesemuanya dilayan sama rata, tiada yang istimewa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Zurk, JAM merupakan sukarelawan badan beruniform yang berkhidmat tanpa elaun daripada parti mahupun daripada kerajaan yang ditadbir oleh PAS, malah kelengkapan uniform turut dibiayai secara sukarela.
“Pengurusan parti adalah pengurusan parti, pengurusan kerajaan adalah pengurusan kerajaan. Jangan dicampur aduk, malu pada diri sendiri, malu pada dunia! Anggota JAM adalah kebanggaan PAS.
“Setiap isteri yang suami mereka menyarung baju JAM pasti akan mendabik dada dan berbangga, suamiku seorang anggota JAM. Mereka dilatih untuk berdisiplin. Mereka dilatih untuk mematuhi arahan.
“Tidak berganjak walau seinci dan tidak bergerak melainkan adanya arahan. Mereka bertugas untuk parti dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kaum, agama dan parti politik.
“Perkara inilah antara kualiti sukarelawan PAS yang sebenar dengan slogannya iaitu ‘Beramal Kerana Allah’ bukan kerana pujian apatah lagi kerana habuan,” ujar Zurk.
“Kualiti bukan diukur pada pujian tetapi pada setiap tindakan yang membekas pada mereka yang pernah mendapat khidmat.
“Semoga Jabatan Amal Malaysia terus maju bersama anggota yang berkompetensi,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024











