
KUALA TERENGGANU: Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong kini dalam rangka mengadakan lawatan ke Terengganu sempena kunjungan rasmi beliau ke Pahang dan negeri ini bermula 4 hingga 8 Mei ini.
Lawatan tersebut, menurut laporan Terengganu Darul Iman (TRDI), dilihat sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh hubungan antara kepimpinan Terengganu dan Singapura, di samping membuka ruang kerjasama lebih luas pada masa hadapan.
Sepanjang lawatan itu, beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta beberapa pemimpin negeri.
Kunjungan berkenaan turut mencerminkan keyakinan terhadap potensi Terengganu dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, pelancongan, pendidikan, tenaga dan hubungan serantau.
Selain itu, Lee turut dijadual mengadakan lawatan ke Pahang termasuk menghadap Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta bertemu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kepimpinan negeri berkenaan.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian usaha Singapura untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah melibatkan kerajaan negeri yang mempunyai kepentingan strategik dalam pembangunan serantau.
Bagi Terengganu, kehadiran pemimpin kanan Singapura itu menunjukkan negeri ini terus diberi perhatian dalam hubungan luar, khususnya di Pantai Timur.
Kali terakhir pemimpin politik Singapura mengunjungi Terengganu ialah pada 2023 menerusi lawatan bekas Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan Singapura, Maliki Osman.
Lee turut diiringi isterinya, Ho Ching bersama Menteri Undang-Undang Singapura, Edwin Tong, Menteri Negara Kementerian Ehwal Luar, Zhulkarnain Abdul Rahim, Anggota Parlimen, Joan Pereira serta pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar Singapura.
Lawatan ini memperlihatkan peranan Terengganu yang semakin menyerlah sebagai negeri stabil, terbuka kepada hubungan strategik dan berpotensi menjadi rakan penting dalam memperkukuh kerjasama Malaysia dan Singapura. –HARAKAHDAILY 6/5/2026




















