
TEHRAN: Iran telah melancarkan sistem baharu untuk mengawal lalu lintas kapal melalui Selat Hormuz, meneruskan kebuntuan maritim yang kini melibatkan sekatan AS dan ancaman tindakan ketenteraan.
Di bawah peraturan baharu itu, semua kapal yang merancang untuk melalui laluan air yang sempit itu mesti menerima kebenaran melalui e-mel daripada pihak berkuasa Iran, lapor agensi berita Xinhua, memetik agensi berita Iran, Press TV yang dikendalikan oleh kerajaan. Iran menggelarkan inisiatif itu sebagai “sistem tadbir urus berdaulat.”
Peraturan baharu itu menetapkan bahawa kapal-kapal terbabit dikehendaki menyesuaikan operasi mereka dengan sewajarnya dan mendapatkan kebenaran sebelum memasuki laluan air, tambah lapor Press TV.
Inisiatif itu disifarkan sebagai ‘sistem tadbir urus berdaulat’ yang kini berkuat kuasa di titik tersumbat strategik.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan mengumumkan operasi tentera AS yang dilabelkan sebagai ‘Project Freedom’ (‘Projek Freedom’) untuk memindahkan kapal-kapal yang terkandas keluar dari Selat Hormuz telah dihentikan sementara.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pula telah mendedahkan peta baharu ‘strategi pintar’ Selat Hormuz, dengan kawasan kawalan Iran yang diperluas, dan memberi amaran kepada kapal-kapal pada Selasa untuk kekal di koridor yang telah ditetapkan atau menghadapi ‘tindak balas tegas’. – HARAKAHDAILY 6/5/2026











