Wabak hantavirus: Tiga maut di atas kapal persiaran Atlantik

Kapal MV Hondius menyediakan dek khas untuk menikmati pemandangan gunung ais di Lautan Atlantik.
- Advertisement -

PRAIA, Cape Verde: Satu wabak jangkitan hantavirus yang jarang berlaku di atas kapal persiaran di Lautan Atlantik telah membunuh tiga nyawa dan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang lain jatuh sakit

- Advertisement -

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan pada Ahad berkata, wabak itu berlaku di atas kapal M/V Hondius, yang dalam perjalanan dari Ushuaia di Argentina ke Cape Verde, lapor AFP.

“Setakat ini, satu kes jangkitan hantavirus telah disahkan makmal, dan terdapat lima kes disyaki tambahan,”  

“Daripada enam individu yang terjejas, tiga telah meninggal dunia, dan seorang kini berada dalam rawatan rapi di Afrika Selatan,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan WHO itu menjelaskan bahawa mangsa pertama yang mengalami simptom ialah seorang penumpang berusia 70 tahun.

“Mangsa pertama meninggal dunia di atas kapal dan mayatnya kini berada di pulau Saint Helena, sebuah wilayah British di Atlantik Selatan, Mohale, kata jurucakap Afrika Selatan.

“Isterinya yang berusia 69 tahun juga jatuh sakit di atas kapal dan dipindahkan ke Afrika Selatan, di mana dia kemudian meninggal dunia di hospital Johannesburg. Namun setakat ini  kewarganegaraan mangsa belum dapat disahkan,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, kes ketiga melibatkan seorang warga Britain berusia 69 tahun, juga dipindahkan ke Johannesburg, di mana dia dirawat di unit rawatan rapi.

Bagaimanapun menurut AFP, sumber yang rapat dengan kes itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata pasangan suami isteri Belanda antara yang maut, manakala mayat mangsa ketiga masih berada di atas kapal.

“Perbincangan sedang dijalankan untuk memutuskan sama ada dua penumpang lain yang sakit harus ditempatkan secara berasingan di hospital di Cape Verde, dan selepas itu kapal itu akan diteruskan ke Kepulauan Canary, Sepanyol,” kata sumber tanpa nama itu.

Sementara WHO berkata, ia sedang ‘memudahkan penyelarasan’ antara pihak berkuasa negara dan pengendali kapal untuk mengatur pemindahan perubatan dua penumpang yang mengalami gejala wabak berkenaan.

Walaupun jarang berlaku, menurut WHO,  jangkitan hantavirus boleh merebak antara manusia, dan ia boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang teruk dan kadangkala membawa maut yang dipanggil sindrom pulmonari hantavirus, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Tiada rawatan atau penawar khusus untuk jangkitan hantavirus, tetapi rawatan perubatan awal boleh meningkatkan peluang untuk terus hidup.

“WHO menyedari dan menyokong peristiwa kesihatan awam yang melibatkan kapal persiaran yang belayar di Lautan Atlantik.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan, termasuk ujian makmal lanjut dan siasatan epidemiologi. Penjagaan dan sokongan perubatan sedang diberikan kepada penumpang dan anak kapal. Penjujukan virus juga sedang dijalankan,” jelas organisasi itu.

Tambah kenyataan WHO itu, Hantavirus disebarkan melalui sentuhan dengan air kencing atau najis tikus yang dijangkiti seperti tikus (rat) dan mencit (rodensia kecil dari keluarga Muridae), yang mana Ia boleh menyebabkan penyakit pernafasan yang serius.

Virus berkenaan mendapat perhatian global selepas Betsy Arakawa, isteri mendiang pelakon Hollywood Gene Hackman, meninggal dunia akibat jangkitan hantavirus di New Mexico pada tahun lepas.

Terdahulu, M/V Hondius telah memulakan pelayaran dari Argentina sejak kira-kira tiga minggu lalu untuk pengembaraan merangkumi lawatan ke Antartika, Kepulauan Falkland dan persinggahan lain dalam perjalanan ke Kepulauan Canary Sepanyol di seberang Atlantik.

Ia disenaraikan sebagai kapal persiaran kutub di laman web beberapa agensi pelancongan yang dilancarkan pada Mei, 2019 di bawah kendalian syarikat pelancongan yang berpangkalan di Belanda, Oceanwide Expeditions.

Kapal itu dilengkapi 70 kabin itu boleh memuatkan sehingga 174 penumpang dengan kelengkapan lain termasuk restoran mega, auditorium dan dek untuk melihat pemandangan gunung ais di Lautan Atlantik.

Menurut beberapa laman web pengesanan kapal dalam talian, M/V Hondius berada di luar pelabuhan Praia, ibu kota Cape Verde, pada hari Ahad.

“Kira-kira 150 pelancong berada di atas kapal pada masa wabak itu berlaku, kata jabatan kesihatan Afrika Selatan.

Kapal itu biasanya bergerak dengan kira-kira 70 anak kapal, menurut beberapa pengendali pelancongan dalam talian. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -