
KUALA TERENGGANU: Pendekatan pelancongan berteraskan nilai patuh syariah tidak menghalang pertumbuhan sektor pelancongan, sebaliknya terbukti menjadi pemangkin kepada peningkatan kehadiran pelawat ke Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, dakwaan bahawa hanya hiburan bebas seperti festival jalanan mampu menarik pelancong adalah tidak tepat.
Beliau berkata, landskap pelancongan global kini berkembang ke arah segmen khusus termasuk pelancongan mesra Muslim yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
“Terengganu adalah bukti jelas bahawa pendekatan patuh syariah bukan penghalang, malah pemangkin.
“Kalau benar pendekatan mesra Muslim menakutkan pelancong, angka ini sepatutnya jatuh, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, data lima tahun menunjukkan trend peningkatan konsisten kehadiran pelancong ke Terengganu, termasuk lonjakan pemulihan pasca pandemik pada 2022 sebanyak 175 peratus.
Beliau menjelaskan bahawa pada 2024, negeri itu merekodkan 7.8 juta pelawat, melepasi sasaran awal, manakala bagi 2025, sasaran 8.5 juta pelawat dicapai dan 6.9 juta direkodkan dalam tempoh separuh tahun pertama.
“Bagi suku pertama 2026 sahaja, kira-kira 2.45 juta pelawat direkodkan, menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan.
“Ini bukan negeri lesu pelancongan, ini trend menaik konsisten,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa PAS dan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh supaya tidak hanya membantah, sebaliknya mengemukakan cadangan alternatif bagi menarik pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Gesaan itu dibuat susulan bantahan terhadap penganjuran Rain Rave Water Music Festival selama tiga hari di Bukit Bintang yang berakhir baru-baru ini.
“Kenyataan Teresa nampak kuat dari segi retorik, tapi lemah dari sudut fakta dan kefahaman model pelancongan yang pelbagai.
“Beliau cuba sempitkan naratif seolah-olah hanya hiburan bebas seperti festival jalanan mampu tarik pelancong. Realitinya, pelancongan global hari ini bergerak ke arah ‘segmented tourism’, termasuk ‘Muslim-friendly tourism’ yang sedang berkembang pesat,” katanya.
Mengulas lanjut, Razali berkata tanggapan bahawa ketiadaan hiburan bebas akan menjejaskan kehadiran pelancong juga tidak berasas.
Sebaliknya, beliau berkata, pelbagai acara berkonsepkan pengalaman dan cabaran seperti Kapas Marang Swimathon berjaya menarik penyertaan antarabangsa walaupun mematuhi garis panduan berpakaian sopan.
“Ambil contoh Kapas Marang Swimathon yang mana acara antarabangsa ini berjaya menarik peserta luar negara walaupun mematuhi garis panduan pakaian sopan. Fokusnya adalah cabaran, alam semula jadi, pengalaman dan bukan hiburan liar,” ujarnya.
Kata beliau lagi, model pelancongan Terengganu bersifat pelbagai dan berdaya saing, merangkumi eko-pelancongan di Tasik Kenyir, destinasi pulau bertaraf dunia seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol, selain produk budaya seperti Karnival Candat Sotong.
“Selain pelancongan komuniti, makanan tradisi dan pengalaman desa.
“Semua ini mesra Muslim, tetapi tetap inklusif kepada bukan Islam,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa perbandingan dengan Langkawi adalah tidak tepat kerana pulau peranginan itu berdepan cabaran berbeza termasuk kos, akses dan persaingan serantau.
“Langkawi mempunyai cabaran berbeza seperti kos, akses dan persaingan serantau, bukan semata-mata faktor dasar moral,” katanya.
Tambahnya, Terengganu membuktikan satu perkara penting yang mana patuh syariah tidak bersifat anti pelancong, manakala konsep mesra Muslim tidak menutup ruang kepada pelancong bukan Islam.
“Tanpa hiburan bebas pun pelancongan boleh berkembang pesat. Masalah sebenar bukan kekurangan festival, tetapi kegagalan memahami bahawa pelancongan ada banyak segmen, bukan satu acuan sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2026




















