Kos bahan api: Pengusaha Pulau Perhentian tertekan

Mohon KPDN pertimbangkan pemberian akses kepada SKDS, ShKPS

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kenaikan kos bahan api antara 50 hingga 70 peratus sejak kebelakangan ini memberi tekanan serius kepada pengusaha pelancongan di Pulau Perhentian, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian industri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

- Advertisement -

Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian (5P) berkata, pihaknya memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar mempertimbangkan pemberian akses kepada Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (ShKPS) bagi kegunaan generator di pulau berkenaan.

Permohonan itu dibuat susulan kebergantungan sepenuhnya pengusaha terhadap generator diesel dan petrol untuk bekalan elektrik, memandangkan Pulau Perhentian merupakan kawasan luar grid.

Pengerusi 5P, Rafizah Munir berkata, peningkatan kos bahan api memberi kesan langsung kepada operasi harian pengusaha yang kini berdepan kenaikan kos sehingga 70 peratus dalam tempoh beberapa bulan.

“Bahan api bukan sekadar kos operasi bagi kami, ia adalah keperluan asas untuk memastikan kehidupan di pulau ini dapat diteruskan. 

“Kami bergantung sepenuhnya kepada generator untuk bekalan elektrik. Kenaikan harga yang berlaku sekarang amat membebankan dan jika berterusan, kami mungkin terpaksa menaikkan harga atau mengurangkan operasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, situasi itu bukan sahaja menjejaskan daya saing Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan, malah memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem ekonomi setempat melibatkan pekerja hotel, pengusaha bot dan peniaga kecil.

Dalam masa sama, 5P berpandangan pendekatan dasar lebih bersasar perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kekangan infrastruktur di kawasan pulau yang tidak mempunyai alternatif bekalan elektrik.

Persatuan itu turut mencadangkan agar kerajaan meneliti semula kerangka subsidi sedia ada dan mempertimbangkan mekanisme khas atau pengecualian bersasar kepada pengusaha di kawasan pulau.

“Kami kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak kementerian dalam membangunkan pelaksanaan yang telus dan praktikal.

“Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang kini sedang berlangsung, kami berharap isu ini dapat diberi perhatian segera. Menyokong destinasi seperti Pulau Perhentian bermakna menyokong komuniti dan ekonomi yang bergantung kepadanya,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha tempatan, Sabri Hamdan berkata, keperluan kepada subsidi bahan api masih relevan sehingga pulau tersebut mendapat bekalan elektrik sepenuhnya daripada pembekal tenaga nasional.

“Pada pandangan saya, mungkin sudah jelas bahawa kami masih memerlukan sokongan subsidi ini sehinggalah pulau ini dibekalkan sepenuhnya oleh pembekal tenaga nasional.

“5P menaruh harapan agar pihak kementerian di bawah pimpinan YB (Yang Berhormat) Menteri Datuk Armizan Mohd Ali dapat mempertimbangkan permohonan ini demi memastikan kelestarian industri pelancongan negara serta kesejahteraan komuniti pulau,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -