Inilah warisan kita! Dikir barat Tumpat gegar Malaysia 

- Advertisement -

TUMPAT: Usaha memartabatkan warisan budaya negeri Kelantan agar tidak pernah pudar malah terus segar, dipelihara dan diwarisi dengan penuh bangga oleh generasi baharu terbukti menerusi kejayaan kumpulan dikir barat dari Tumpat dalam Pertandingan Dikir Barat RTM 2026.

- Advertisement -

Kumpulan dikir Sri Kandi Tumpat muncul sebagai johan kategori wanita manakala Seruling Kasih meraih naib johan kategori lelaki dalam pertandingan tersebut yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai juara, Sri Kandi Tumpat yang membawa pulang hadiah kemenangan RM25,000 pada pertandingan yang memasuki edisi ke-22 itu juga mencatat kemenangan berganda apabila anugerah Tok Jogho Wanita Terbaik menjadi milik Nana Alunan Manja, manakala Tukang Karut Wanita Terbaik dimenangi Ikin Sukma Sakti. 

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kejayaan itu mencerminkan kesungguhan, disiplin serta semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam memartabatkan seni warisan negeri.

“Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan meraikan kejayaan Kumpulan Dikir Barat Seruling Kasih dan Sri Kandi Tumpat dalam Pertandingan Dikir Barat RTM 2026,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan serta para penaja kumpulan dikir yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pembangunan seni budaya tempatan.

Menurut Wan Roslan lagi, majlis berkenaan diadakan bagi menghargai kejayaan kumpulan dikir yang menyokong pembangunan seni budaya tempatan.

“Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin untuk terus memperkasa seni budaya serta mengharumkan nama Tumpat dan Kelantan di peringkat lebih tinggi.

“Semoga terus istiqamah, memperkasa budaya dan mengharumkan nama Tumpat serta Kelantan di pentas yang lebih tinggi,” katanya. 

Dalam program sama, Pemenang kategori kumpulan lelaki, iaitu Kumpulan Kala Maharaja PKINK (Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan) yang diumumkan sebagai juara kategori lelaki membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 mendominasi Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 apabila Tok Jogho, Ejak Akiem diangkat sebagai Tok Jogho Lelaki Terbaik, manakala Megat Haikal pula diumumkan menang Tukang Karut Lelaki Terbaik. – HARAKAHDAILY 4/5/2026


- Advertisement -