
SEPANG: Seramai 272 jemaah haji kumpulan pertama di bawah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi semalam.
Kumpulan itu yang turut disertai empat petugas berlepas sekitar jam 2 pagi menaiki pesawat Saudia Airlines dan dijangka tiba di Madinah pada jam 9.25 pagi waktu tempatan.
Terdahulu, jemaah mula berkumpul seawal jam 5.30 petang di Kompleks Tabung Haji Sepang sebelum mendaftar di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick, seterusnya dibawa ke dewan menunggu sekitar jam 8.30 malam.
Hadir mengucapkan selamat berangkat ialah Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah, Pengarah Urusan, Ibrahim Mat Sin serta Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang, Ida Riswana Idris.
Ida Riswana berkata, kumpulan tersebut merupakan sebahagian daripada kira-kira 500 jemaah yang akan dikendalikan Andalusia bagi musim haji tahun ini melalui pelbagai jenis visa termasuk visa biasa, tambahan dan mujamalah.

“Bagi tahun ini, kita memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk penganjuran manasik atau simulasi haji selama dua hari di Kota Bharu dan Semenyih sebagai persiapan jemaah,” katanya.
Menurutnya, melalui simulasi tersebut, jemaah didedahkan dengan situasi sebenar ibadah haji termasuk di Arafah, Mina dan Muzdalifah.
“Kita mahu memastikan jemaah lebih faham dan menghayati ibadah serta tidak terkejut dengan keadaan sebenar di sana nanti,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya membuat penyusunan awal penempatan jemaah selain mengemaskini nota ibadah bagi memudahkan jemaah mengingati doa khusus terutama ketika berada di Arafah dan Mina.
“Menerusi pembaharuan ini, kami mahu jemaah bukan sekadar hadir dengan ilmu teori, tetapi benar-benar bersedia dari segi kefahaman dan penghayatan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata jadual penerbangan setakat ini berjalan lancar walaupun timbul kebimbangan awal berkaitan situasi geopolitik di Asia Barat.
“Alhamdulillah semuanya tiada masalah dan pihak Tabung Haji menyusun perjalanan dengan baik serta berhubung dengan kementerian dan pihak penerbangan,” katanya.
Tambahnya, melalui konsep ‘pakej mampu milik’, sebahagian jemaah akan ditempatkan di kawasan Aziziyah yang lebih dekat dengan lokasi masyair sebelum berpindah ke hotel berhampiran Masjidil Haram.
Sementara itu, Md. Daud menasihatkan jemaah agar tidak terlalu bimbang dengan perkembangan semasa di Asia Barat selagi tiada arahan rasmi daripada pihak berkuasa.
“Jangan bimbang, jangan takut kerana sebarang nasihat berkaitan keselamatan akan dimaklumkan oleh kerajaan. Jika dibenarkan, kita teruskan ibadah dengan yakin,” katanya.
Beliau yang berpengalaman lebih 50 tahun sebagai petugas haji turut mengingatkan jemaah supaya mematuhi segala panduan ibadah dan sentiasa merujuk mutawif bagi mengelakkan kesilapan.
“Haji ini mungkin sekali seumur hidup, jadi lakukan dengan betul mengikut panduan agar memperoleh haji mabrur,” katanya lagi. -HARAKAHDAILY 22/4/2026




















