
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyalurkan hampir RM21 juta kepada sekolah agama rakyat di negeri ini sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 bagi menyokong operasi serta pembangunan institusi pendidikan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan adalah sebanyak RM20,941,500.
Menurutnya, peruntukan itu melibatkan beberapa skim termasuk Dana Skim Al-Ghazali serta bantuan secara one-off kepada institusi pendidikan Islam swasta (IPIS).
“Bagi Dana Skim Al-Ghazali, jumlah peruntukan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM5,210,840 diikuti RM5,141,110 pada 2024 dan RM5,114,550 pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan RM15,466,500,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Shafizi Ismail (PAS-Batu Rakit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, bantuan one-off kepada IPIS pula melibatkan RM2.74 juta pada 2024 dan RM2.735 juta pada 2025, manakala tiada kelulusan diberikan pada 2023.
“Bantuan itu melibatkan 135 institusi bagi setiap tahun pada 2024 dan 2025, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM5,475,000,” ujar beliau.
Satiful menyatakan bahawa kerajaan negeri turut merancang pembinaan bangunan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Rantau Abang pada 2030 bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, perancangan pembinaan SRIDI Rantau Abang akan dimulakan dengan penyediaan laporan pelukis pelan serta mendapatkan pandangan jabatan teknikal pada 2026.
“Seterusnya pada tahun 2027, proses melibatkan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan dilaksanakan termasuk perizaban tanah di bawah Seksyen 62 serta penyediaan Pelan Akui dan pewartaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Fadli Rahmi Zulkifli (PAS-Rantau Abang) mengenai perancangan pembinaan SRIDI di kawasan itu.
Menurutnya lagi, sehingga kini sebanyak 12 SRIDI telah ditubuhkan di seluruh Terengganu dengan empat daripadanya sudah beroperasi di tapak kekal manakala lapan lagi masih menggunakan tapak sementara. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











