Perkukuh peranan ‘semak dan imbang’ pembangkang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Mohd Shafie Ngah (PN – Sungai Ramal) menggesa kerajaan negeri memperkukuh peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang, di samping membangkitkan pelbagai isu melibatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kebajikan rakyat.

Beliau mengemukakan enam fokus utama iaitu pemerkasaan pembangkang, kecekapan perkhidmatan di peringkat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kebajikan perumahan bertingkat, kedudukan Selangor dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia, cadangan penyelesaian banjir melalui model SMART Tunnel, serta isu kehilangan pekerjaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah peranan pembangkang tidak seharusnya terhad di dalam dewan, sebaliknya perlu diperluas hingga ke peringkat daerah dan PBT bagi memastikan semak dan imbang dilaksanakan secara menyeluruh.

“Namun, wakil rakyat pembangkang tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat jawatankuasa pembangunan daerah.

“Ini tidak demokratik kerana kami dipilih oleh rakyat dan perlu mengetahui perancangan pembangunan untuk disampaikan kepada mereka,” katanya ketika sesi perbahasan di Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan negeri mempertimbangkan semula dasar berkenaan dengan membenarkan penglibatan pembangkang dalam mesyuarat tersebut.

Mengulas kecekapan perkhidmatan, Mohd Shafie menegaskan ia bergantung kepada dua aspek utama iaitu penyelarasan skop kerja dan keberkesanan pemantauan serta penguatkuasaan.

Beliau memberi contoh isu penyelenggaraan jalan di perumahan PKNS Kampung Sungai Ramal Luar yang didakwa tidak ditangani lebih 30 tahun akibat ketiadaan agensi bertanggungjawab.

Selain itu, beliau membangkitkan masalah pencemaran kumbahan oleh perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Kampung Sungai Ramal Dalam yang menyebabkan hakisan tanah dan berpotensi mengancam keselamatan penduduk.

“Tiada pihak tampil menyelesaikan walaupun aduan telah lama dibuat. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh menjejaskan kediaman penduduk,” katanya.

Beliau turut menegur isu pemantauan operasi kuari di Bukit Kajang, termasuk letupan batu yang didakwa menggegarkan kawasan perumahan sehingga jarak 10 kilometer serta pencemaran debu akibat laluan lori berhampiran kawasan awam.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan keberkesanan pemantauan kontrak pembersihan awam oleh PBT yang menurutnya tidak dilaksanakan mengikut jadual, termasuk kerja pemotongan rumput, pembersihan longkang dan kutipan sampah.

Menyentuh kebajikan perumahan, Mohd Shafie meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada penghuni rumah bertingkat yang berdepan masalah penyelenggaraan kemudahan asas seperti jalan dalam kawasan perumahan dan rumah sampah.

Katanya, badan pengurusan bersama (JMB) atau GMB tidak mampu menampung kos pembaikan besar, justeru kerajaan negeri disaran menghidupkan semula peruntukan bantuan seperti yang pernah dilaksanakan antara 2013 hingga 2015.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan kedudukan Selangor dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia yang berada di tangga ke-14 selama tiga tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2025.

“Apakah langkah kerajaan untuk meningkatkan kedudukan ini sekurang-kurangnya beberapa anak tangga bagi mencerminkan kesejahteraan rakyat Selangor?” soalnya.

Beliau turut merujuk data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menunjukkan Selangor mencatatkan kadar kehilangan pekerjaan tertinggi setakat Mac 2026 iaitu 29.3 peratus melibatkan 1,729 orang, dan meminta penjelasan serta langkah penyelesaian.

Mengakhiri perbahasan, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri meneliti pendekatan SMART Tunnel di Kuala Lumpur sebagai model mitigasi banjir yang berkesan, bukan sahaja mengurangkan banjir tetapi turut membantu melancarkan aliran trafik.

Beliau berharap usaha memperkukuh peranan pembangkang dapat direalisasikan demi memastikan pentadbiran negeri lebih telus, inklusif dan berkesan untuk kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -