
KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui kerjasama dengan pihak pengurusan pusat membeli-belah dan agensi berkaitan akan melaksanakan beberapa langkah strategik, bagi menarik semula pelancong domestik ke pusat-pusat membeli-belah yang sebelum ini menjadi tarikan utama di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Norberkata, antara langkah utama ialah penganjuran pelbagai acara dan program tarikan pengunjung seperti festival makanan tempatan, jualan mega, karnival keluarga serta persembahan hiburan.
Menurutnya, antara program yang dijadualkan berlangsung ialah acara anjuran RJ Cats di Mydin Mall pada Julai depan yang menampilkan pertandingan kucing dan dijangka menarik penyertaan peminat dari pelbagai negeri.
“Selain itu, pusat membeli-belah juga digalakkan menjalinkan kerjasama strategik dengan jenama besar serta industri pelancongan melalui pakej seperti ‘Stay & Shop’.
“Sebagai contoh, kerjasama antara Mydin Mall Tunjong dan H Elite Design Hotel bagi menawarkan pakej penginapan dan membeli-belah kepada pelancong domestik,” katanya ketika menjawab soalan dari Shaari Mat Yaman (PAS-Bunut Payong) di Persidangan Kali Yang Pertama (Istiadat Pembukaan Penggal) bagi tempoh Penggal Keempat, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini, di sini.
Tambahnya, pihak pengurusan turut menambah baik kemudahan seperti ruang istirahat, surau, bilik keluarga dan kemudahan WiFi percuma bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
Beliau menjelaskan bahawa aktiviti interaktif seperti zon permainan realiti maya, bengkel seni, pertandingan mewarna dan pertunjukan watak kartun juga akan dianjurkan secara berkala bagi menjadikan pusat membeli-belah sebagai destinasi riadah keluarga.
“Usaha ini penting bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi di pusat membeli-belah serta menjadikannya destinasi pelancongan domestik yang menarik di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











